Gobind cadang silibus pengkomputeran, teknologi digital
PELABUHAN KLANG – Dasar baharu sedang dirangka untuk mewujudkan silibus pengkomputeran dan teknologi digital di peringkat sekolah, kolej kemahiran serta vokasional.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pelajar di negara ini perlu diberi pendedahan awal mengenai perkembangan revolusi digital, sekali gus bersedia untuk berdepan dunia masa depan.
“Bagi tujuan ini kita akan bekerjasama dengan Dr Maszlee (Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik) untuk melihat daripada aspek pendidikan dan Kulasegaran (Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran) dalam konteks pekerjaan.
“Kita juga mendapatkan pandangan Syed Saddiq (Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman) bagi tujuan ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Dewan Dr V David di Kolej Institut Teknologi Pekerja (WIT), Pandamaran di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Kolej WIT, Tan Sri Zainal Rampak; Ahli Lembaga Pengarah Kolej WIT, K. Alaga Kandasamy dan Ketua Pegawai Operasi (Kursus Korporat) Kolej WIT, Zulkifli Zainal. Gobind berkata, cadangan itu akan dilaksanakan secepat mungkin.
Menurutnya, dasar itu perlu dibentangkan kepada kabinet terlebih dahulu dan setakat ini pihaknya tidak lagi dapat menetapkan bila ia dapat dilaksanakan.
“Sebab kita memerlukan pandangan semua pihak, jadi kita tidak boleh tetapkan tempoh masa,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan perlu menyediakan infrastruktur capaian internet yang lebih baik kepada semua lapisan rakyat bagi memastikan tidak ketinggalan dengan perkembangan revolusi digital.
“Kita kena pastikan pastikan semua rakyat dapat akses kepada internet. Internet dan teknologi ialah infrastruktur yang penting,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!