Samun: Tiga lelaki menyamar polis
KEPALA BATAS - Menyamar sebagai polis dan menjadikan warga asing, orang tua serta pasangan kekasih sebagai sasaran untuk samun.
Itu modus operandi yang digunakan tiga lelaki yang melakukan kegiatan jenayah berkenaan di sekitar kawasan hentian rehat dan rawat Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini sejak Isnin lalu.
Bagaimanapun tindakan licik mereka berjaya dipatahkan oleh polis selepas ditahan dalam serbuan yang dilakukan awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam serbuan yang dilakukan jam 5.30 pagi itu, polis berjaya menahan dua lelaki yang berusia 23 dan 26 tahun selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di belakang sebuah stesen minyak berhampiran kawasan hentian rehat dan rawat BORR.
Menurutnya, ketika dihampiri pasukan serbuan kedua-dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Yamaha 125z cuba meloloskan diri dan salah seorang daripadanya cuba terjun ke dalam laut bagi mengelak ditangkap.
Katanya, bagaimanapun usaha mereka ternyata sia-sia apabila berjaya diberkas oleh pasukan serbuan yang diketuai oleh Asisten Superintendan Mohd Yusof Ibrahim.
"Terdahulu kita menerima tiga laporan daripada pasangan kekasih yang sedang duduk di tepi pantai berhampiran kawasan berkenaan, seorang penghantar surat khabar dan seorang lelaki warga Pakistan yang disamun oleh kumpulan lelaki berkenaan pada Isnin lalu.
"Menurut mangsa salah seorang daripada mereka yang memakai vest polis meminta mereka untuk menunjukkan dokumen pengenalan diri sebelum mengarahkan mangsa ke balai polis berhampiran namun ketika dalam perjalanan kumpulan lelaki terbabit akan menyamun mangsa dengan melarikan wang tunai serta barangan berharga," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Noorzainy berkata, bertindak atas laporan yang diterima pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi memburu kumpulan penjenayah berkenaan.
Katanya, hasil siasatan dan risikan yang dilakukan tidak sampai 24 jam pihaknya berjaya memberkas kumpulan penjenayah terbabit.
Tambahnya, susulan tangkapan dua lelaki di di belakang sebuah stesen minyak berhampiran kawasan hentian rehat dan rawat BORR membawa kepada tangkapan seorang lagi rakan mereka di sebuah rumah di Bukit Indera Muda, Kubang Semang kira-kira jam 11.30 pagi tadi.
"Pemeriksaan yang dilakukan terhadap kesemua suspek berjaya menemui sehelai vest polis, set walkie talkie, lampu suluh yang mempunyai alat renjatan elektrik dan sarung tangan berwarna hitam.
"Turut dirampas sebutir palam pencucuh yang telah diubah suai, sebatang master key dan bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi dadah jenis syabu," katanya.
Noorzainy berkata, semakan yang dibuat mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau termasuk empat kesalahan penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata, soal siasat yang dilakukan mendapati mereka mengakui terlibat dengan tujuh kes samun di sekitar kawasan Seberang Perai Utara.
Katanya, ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Butterworth esok untuk mendapatkan perintah reman dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!