NSCMH ambil alih 11 cawangan Pusat Hemodialisis Mawar
SEREMBAN – Pusat Perubatan NSCMH akan mengambil alih pengurusan 11 cawangan Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) di seluruh negara mulai hari ini.
Naib Presiden NSCMH, Datuk Hon Choon Kim berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama Pengerusi Mawar Medical Centre (MMC), Datin Chua Lay Ping dan ahli jawatankuasa PHM baru-baru ini.
“Lima pusat hemodialisis berada di negeri ini, dua masing-masing di Selangor dan Johor serta sebuah di Kuala Lumpur dan Sabah dengan keseluruhan 111 buah mesin hemodialisis disediakan.
“Pengambilalihan ini bertujuan memastikan kira-kira 400 pesakit di semua pusat hemodialisis PHM dapat meneruskan rawatan tanpa gangguan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, pengambilan itu termasuk urusan membayar gaji kakitangan di kesemua cawangan berkenaan dan pihaknya kini dalam proses mendapatkan kebenaran daripada pihak bertanggungjawab mengenai pengambil alihan berkenaan.
Pada 15 Jan lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) membatalkan lesen hospital MMC yang juga subsidiari kepada PHM selepas didapati melanggar ketetapan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
Bagaimanapun, penutupan MMC itu tidak melibatkan 13 cawangan pusat hemodialisis yang dilesenkan di bawah PHM.
Sementara itu Lay Ping berkata, pihaknya berasa lega dengan pengambilalihan itu kerana kos operasi yang terpaksa ditanggung setiap bulan di kesemua 11 pusat hemodialisis berkenaan ialah RM250,000.
"Secara umumnya, setiap pesakit buah pinggang di pusat dialisis ini hanya dikenakan bayaran RM10 untuk setiap rawatan manakala baki RM100 ditanggung pertubuhan bukan kerajaan (NGO)dan RM50 oleh PHM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!