Prestasi Hyundai Santa Fe
Kenderaan yang menjanjikan prestasi penukaran gear pada kadar lebih pantas
SETELAH membuat penampilan sulung pada Kuala Lumpur International 2018 (KLIMS) November tahun lalu, kini SUV Hyundai Santa Fe (generasi keempat) telah rasmi dijual untuk pasaran Malaysia.
Ditawarkan dalam versi petrol dan diesel, kedua-dua pilihan enjin tersebut hadir dengan versi asas Executive dan model tertinggi Premium.
Jentera itu didatangkan dengan dua pilihan enjin iaitu Theta II 2.4 liter dan enjin diesel CRDi bersesaran 2.2 liter. Enjin petrol Theta II berkuasa 172PS dan tork 225Nm dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan dan hanya memacu roda hadapan.
Sementara, bagi enjin turbo diesel R 2.2 CRDi pula, ia dibekalkan dengan 193 PS dan tork maksimum 440 Nm, digandingkan bersama dengan kotak gear automatik lapan kelajuan automatik konvensional baharu yang dibangunkan sendiri oleh Hyundai. Versi dengan tork lebih tinggi itu juga hanya hadir dengan pilihan pacuan semua roda Hyundai HTRAC.
Transmisi baharu yang dibangunkan sendiri oleh Hyundai itu menjanjikan prestasi penukaran gear yang pantas. Senarai kelengkapan yang ditawarkan bagi varian Executive dan Premium bagi kedua-dua versi enjin ialah sama.
Varian Executive hadir dengan pakej standard iaitu dengan lampu hadapan projektor halogen, lampu kabus dan lampu belakang jenis mentol, rim 18 inci dengan tayar 235/60R18, balutan kulit hitam, tempat duduk penumpang larasan manual dan paparan meter analog dengan skrin pelbagai info TFT LCD 3.5-inci.
Ciri tambahan
Dengan perbezaan harga RM20,000, varian Premium bagi enjin petrol dan diesel dilengkapi dengan pelbagai ciri tambahan. Antaranya ialah Rear Occupant Alert, Blind-Spot Colision Warning, Rear Cross Traffic Collision Warning, Bi-function LED Projection, Dynamic Bending Light, tempat duduk kuasa lapan cara untuk penumpang hadapan dan 10 cara untuk pemandu.
Tidak ketinggalan kemasan kulit pada papan pemuka, kemasan fabrik atau suede pada tiang, paparan LCD TFT Supervision bersaiz tujuh inci dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto, pintu belakang kuasa, pengecas telefon tanpa wayar, pengesan hujan rim 19 inci dan lampu LED.
Versi Premium pula diberikan ciri-ciri seperti lampu hadapan Bi-LED dengan fungsi Dynamic Bending Light, lampu kabus dan lampu belakang LED, rim 19-inci dengan tayar 235/55R19 dan pilihan upholsteri sama ada hitam atau Burgundy.Selain itu, tempat duduk penumpang hadapan larasan berkuasa lapan hala, kemasan kulit pada papan pemuka dan juga papan instrumen digital Supervision TFT LCD tujuh inci.
Model tertinggi itu juga dilengkapi dengan pintu tailgate belakang bantuan kuasa, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan pengelap cermin hadapan automatik. Untuk sistem keselamatan juga, semua versi Santa Fe dilengkapi enam beg udara, ESC, ABS bersama Kawalan Brek Menuruni Bukit dan Bantuan Mula Mendaki, Traction Control dan Kawalan Pengurusan Kestabilan (VCM). Versi Premium pula ditambah dengan ciri Amaran Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang.
Untuk model petrol dengan enjin Theta II 2.4 liter MPI dalam varian Executive, Santa Fe dijual pada harga RM169,888, manakala varian Premium pula RM189,888. Bagi versi turbo diesel R 2.2 CRDi Executive pula, ia dijual pada harga bermula RM191,888 dan varian Premium boleh dimiliki dengan harga RM211,888.
Kesemua harga yang dinyatakan ialah harga atas jalan tanpa insurans. Setiap pembelian disertai waranti selama lima tahun atau 300,000 kilometer (km) (yang mana sampai dulu) dan servis penyelenggaraan sehingga 50,000km atau tiga tahun (yang mana sampai dulu).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!