APMM rampas rokok seludup RM1 juta
LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak berjaya merampas lebih 60,000 kotak rokok kretek bernilai RM1 juta berhampiran muara Sungai Bernam, Hutan Melintang di sini hari ini.
Pengarahnya, Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, sebuah bot pancung berjaya ditahan dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan Op Pagar Laut dibuat APMM jam 2 pagi.
"Suspek seramai empat orang berjaya melarikan diri sebelum empat kru dari Bot Petir 80 mendekati bot pancung berkenaan. Rokok kretek pelbagai jenis yang dipercayai cuba diseludup ditemui ketika pemeriksaan dilakukan.
"Kes yang disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 ini menjadi tangkapan terbesar melibatkan penyeludupan rokok oleh APMM Perak untuk tahun ini," katanya kepada media di Ibu Pejabat APMM Perak di sini hari ini.
Wan Mat berkata, tiga enjin bot dan satu bot dengan nilai keseluruhan rampasan RM1.2 juta turut dirampas.
"APMM Perak akan mempertingkatkan pemantauan di laluan yang disyaki menjadi lokasi penyeludup di kawasan titik panas yang lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!