12 kenderaan terbakar angkara khianat
TELUK INTAN - Seorang pemilik bengkel kenderaan mengalami kerugian hampir RM150,000 selepas premisnya dipercayai dibakar menyebabkan 12 kenderaan hangus dalam kejadian di Batu 2, Jalan Maharajalela di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan awam kira-kira jam 5.15 pagi memaklumkan kebakaran kenderaan di premis bengkel milik seorang lelaki berusia 48 tahun.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati lokasi itu adalah ruang legar tempat letak kenderaan kedai baik pulih kenderaan bagi tuntutan insurans dan beroperasi sejak bulan Mac tahun lalu.
"Sebanyak lapan kenderaan terbakar hangus dan empat separuh terbakar. Lapan kenderaan terbakar keseluruhan adalah kenderaan buatan nasional dan dua kenderaan 'boatman' Jepun, manakala empat lagi kenderaan separa terbakar meliputi kenderaan buatan nasional, Jepun dan Eropah
"Pemeriksaan dilakukan mendapati tempat kejadian berpagar dan dikelilling pokok dan semak serta terdapat kesan pagar dipotong di sebelah kanan premis dipercayai laluan masuk suspek ke kawasan kejadian," katanya kepada media di sini hari ini.
Menurutnya, kunci bengkel yang hanya mempunyai satu jalan masuk itu dipegang majikan dan kerani dan premis itu didakwa berkunci dengan baik.
"Polis percayai kes ini membabitkan perbuatan khianat dengan simbahan bahan bakar berdasarkan sebuah bekas plastik yang berada di dalam salah satu kereta dan mempunyai bau bahan bakar.
"Saksi di dalam bangunan yang juga penjaga premis menyatakan hanya menyedari kebakaran jam 5.08 pagi apabila terdengar bunyi penggera kereta dan dapati api marak," katanya.
Mohd Marzukhi berkata, kebakaran dipadamkan anggota bomba dan motif kejadian masih dalam siasatan.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api ke atas kenderaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!