Jalan mendap selepas hujan lebat
RAWANG - Jalan Puteri 3 berhampiran lorong masuk ke Desa Puteri, Bandar Tasik Puteri di sini terpaksa ditutup kerana terdapat struktur mendap sehingga membentuk takungan air di laluan menghala Blok 3 di sini hari ini.
Ahli Majlis Zon 18, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Choy Pooi Yee berkata, hujan lebat sejak jam 1.30 petang antara punca berlakunya mendapan kira-kira 30 minit kemudian.
"Bagaimanapun insiden ini tidak melibatkan mangsa atau kerosakan harta benda disebabkan disedari awal. Hujan lebat dan berterusan itu menyebabkan mendapan tanah yang sedikit.
"Ia mulai merebak dan semakin teruk sehingga merosakkan struktur jalan. Atas faktor keselamatan, jalan itu terpaksa ditutup selain terdapat aliran air bawah tanah menyebabkan permukaan jalan tidak stabil," katanya.
Katanya, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada pihak bomba dan jabatan berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
"Difahamkan kerja penyelenggaraan masih di bawah tanggung jawab pemaju kerana pengurusannya belum diserahkan kepada MPS.
"Sebarang perkembangan baik pulih dan keselamatan jalan tersebut akan dikemas kini dari semasa ke semasa. Pengguna dinasihatkan menggunakan jalan alternatif sebagai langkah keselamatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!