Jumlah kes kemalangan maut di Terengganu menurun

Allaudeen (dua dari kanan) menunjukkan kertas statistik Ops Selamat 15/2019 yang dibentangkan pada sidang media di Bilik Media IPK Terengganu, di Kuala Terengganu hari ini.
Allaudeen (dua dari kanan) menunjukkan kertas statistik Ops Selamat 15/2019 yang dibentangkan pada sidang media di Bilik Media IPK Terengganu, di Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Op Selamat 15/2019 sempena Aidilfitri yang dilancarkan bermula 29 Mei lalu hingga semalam merekodkan penurunan 12 kes kemalangan maut di negeri ini iaitu sebanyak 13 kes dicatatkan pada tahun ini berbanding 25 kes tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, dalam tempoh itu juga berlaku peningkatan dari segi jumlah kemalangan iaitu sebanyak 70 kes dan menjadikan jumlah kemalangan pada Op Selamat 15/2019 sebanyak 640 kes berbanding 570 kes tahun lalu.

"Sehingga semalam, Op Selamat 15 mencatatkan 13 kes kemalangan maut yang mengorbankan 13 mangsa berbanding 24 kemalangan maut dengan 25 kematian pada tahun sebelumnya.

"Sepanjang tempoh itu juga, daripada 640 kes kemalangan, sebanyak lima kes melibatkan kecederaan parah dan satu kes cedera ringan manakala 1,043 kes kenderaan rosak," katanya pada sidang media di Bilik Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak 16,183 saman atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan polis Terengganu kepada pengguna jalan raya.

"Jalan persekutuan pula merekodkan jumlah kemalangan jalan raya tertinggi iaitu 291 kes, diikuti jalan negeri (146 kes), jalan bandaran (131 kes), lain-lain jalan (39 kes) dan lebuhraya (33 kes).

"Dari segi perbandingan mengikut daerah pula, Kemaman mencatatkan peningkatan kes kemalangan paling tinggi 100 kes berbanding sebelumnya hanya 78 kes manakala Dungun mencatatkan penurunan kes kemalangan sebanyak 8 kes iaitu daripada 84 kes tahun sebelum ini kepada hanya 76 kes tahun ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!