Suami isteri terselamat kereta langgar pokok tumbang
JERANTUT - Berpantang maut sebelum ajal. Sepasang suami isteri terselamat selepas kereta yang mereka naiki melanggar sebatang pokok kempas yang tumbang di laluan Jerantut-Kuala Tahan di Kampung Paya Teratai, di sini hari ini.
Kejadian itu menyebabkan laluan tersebut mengalami kesesakan lalu lintas di kedua-dua arah beberapa jam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, Lans Koperal Ramlan Drahman, 30, dan isterinya, Norazizah Ibrahim, 27, hanya mengalami cedera ringan walaupun bahagian hadapan kereta Proton Exora miliknya remuk teruk.
Ramlan yang bertugas di Pondok Polis Kampung Bantal, Ulu Tembeling berkata, dia bersama isterinya dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai urusan di bandar itu.
"Sebelum itu saya sudah rasa tidak sedap hati namun terpaksa pulang sebelum malam kerana perjalanan mengambil masa hampir dua jam apatah lagi hujan lebat.
"Saya memandu dengan perlahan kerana keadaan jalan gelap akibat hujan lebat dan tiba-tiba kereta saya terlanggar pokok yang telah tumbang di atas jalan," katanya lagi.
Menurutnya, dia bersyukur kerana mereka berdua selamat dan mengakui tidak dapat membayangkan nasib mereka sekiranya pokok besar itu tumbang di atas keretanya.
Dalam pada itu,Ramlan menghargai bantuan semua pihak iaitu pihak bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang ramai yang bertungkus-lumus menyelamatkan dia dan isterinya.
Sementara itu, penduduk kampung merayu agar pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya ekoran kejadian pokok tumbang sering berlaku di laluan berkenaan setiap kali hujan lebat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!