RON95: Kenderaan asing bayar guna kad kredit
JOHOR BAHRU - Kenderaan asing yang tular membeli barang kawalan RON95 di sebuah stesen minyak di Gelang Patah disahkan membuat pembayaran menggunakan kad kredit.
Hasil siasatan empat pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor yang melawat stesen minyak itu kira-kira jam 10 pagi tadi mendapati kejadian itu tidak disedari pekerja yang bertugas pada hari berkenaan.
Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, pihaknya telah mengeluarkan amaran keras kepada pengusaha stesen tersebut.
"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku disebabkan pemilik kenderaan asing tersebut menggunakan sistem pembayaran kad kredit dan pam berada jauh daripada pekerja yang bertugas.
"Stesen minyak tersebut telah diberi amaran keras supaya sentiasa memantau pembelian minyak RON95 oleh kenderaan asing.
"Sekiranya berlaku lagi kejadian seperti ini, tindakan kes akan diambil," katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, tular di media sosial beberapa keping gambar menunjukkan seorang lelaki mengisi minyak RON95 pada kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura.
Mengikut 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 Akta Kawalan Bekalan 1961 jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya, tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.
Manakala bagi syarikat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta dan tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!