Kawal pengambilan kalori musim raya

A
A
A

KEMERIAHAN menyambut kedatangan Syawal tidak akan lengkap tanpa hidangan pelbagai juadah yang lazat sehingga kadangkala menjadi satu cabaran bagi mengekalkan diet seimbang.

Setelah menjalani ibadat puasa sepanjang bulan Ramadan, sambutan bulan Syawal jangan dijadikan satu alasan untuk merosakkan segala manfaat kesihatan yang diperoleh daripada ibadah puasa pada bulan Ramadan.

Ramadan yang dilalui selama sebulan diakui dapat mencegah daripada beberapa masalah kesihatan seperti kolestrol tinggi, jantung dan obesiti selain berupaya meningkatkan kesihatan mental.

Namun begitu, kemeriahan menyambut Syawal dengan memenuhi pelbagai jemputan kenduri, majlis kesyukuran dan rumah terbuka yang menyediakan beraneka jenis juadah dikhuatiri akan menjejaskan segala faedah kesihatan yang diperolehi sepanjang berpuasa. Tidak hairanlah jika terdapat dalam kalangan antara kita yang merungut berat badan semakin meningkat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri. Justeru, bulan Syawal perlu disambut dengan sikap berhemah dan bersederhana.

Bersikap sederhana perlu ditekankan dalam setiap rumah terbuka yang dilihat seolah-olah sudah menjadi satu tradisi dalam masyarakat pada hari ini. Penganjuran sebarang majlis Hari Raya Aidilfitri adalah sesuatu yang positif khususnya dalam meningkatkan silaturahim dalam kalangan masyarakat. Namun begitu, setiap ahli masyarakat perlu bijak dalam menguruskan pengambilan pemakanan dan juga aktiviti fizikal sepanjang musim perayaan ini.

Pengambilan kalori perlu dikawal sebaik mungkin dengan mengawal jumlah makanan yang diambil. Pengambilan makan berlemak, bergula dan berminyak akan meningkatkan risiko peningkatan berat badan dan penyakit kronik. Oleh yang demikian, kita perlu bijak dan berhati-hati dengan jumlah makan yang diambil sepanjang musim perayaan ini. Apatah lagi juadah tradisi sepanjang musim perayaan seperti ketupat palas, lemang, rendang, mi kari, sate, dodol, minuman manis adalah kumpulan makan yang manis, berlemak dan tinggi kalori.

Senaman ringkas

Panduan Diet Malaysia mencadangkan bahawa anggaran purata pengambilan kalori bagi lelaki dewasa adalah 2,000 kkal/sehari dan 1,500 kkal sehari bagi wanita dewasa. Justeru, makan makanan sihat sepanjang musim perayaan perlu diberi keutamaan untuk terus kekal sihat dan cergas.

Masyarakat perlu menghadkan pengambilan makanan yang tinggi kalori dengan jumlah yang sedikit tetapi perlu melebihkan makanan yang tinggi serat. Minum air kosong adalah lebih baik daripada minuman karbonat atau minuman manis yang lain. Air kosong juga diakui dapat membantu meningkatkan pembakaran kalori.

Artikel Berkaitan:

Pakar-pakar berpendapat bahawa minum air kosong dapat meningkatkan metabolisme badan dan seterusnya meningkatkan pembakaran kalori. Pelbagai jenis kerepek yang disediakan sebagai makanan di hari raya sebahagian besarnya mempunyai kandungan garam yang tinggi perlu dikawal pengambilannya bagi mengelakkan daripada menjejaskan kesihatan.

Aktiviti fizikal wajar diteruskan dengan konsisten sepanjang musim perayaan ini. Aktiviti fizikal merupakan satu-satuya kaedah yang efektif bagi membakar kalori yang telah diambil sepanjang musim perayaan. Mengambil makanan dengan kuantiti yang banyak pada musim perayaan tanpa melakukan senaman atau aktiviti fizkal menyebabkan terjadinya ketidakseimbangan tenaga yang merupakan asas kepada peningkatan berat badan. Oleh yang demikian, perlu meluangkan masa sekurang-kurangnya 30 minit sehari dengan melakukan senaman supaya wujudnya keseimbangan tenaga dan mengelakkan peningkatan berat badan mendadak.

Aktiviti fizikal yang ringkas boleh dilakukan sama ada pada waktu pagi dan petang seperti berjoging, berenang dan berjalan pantas amat digalakkan bagi kekal cergas.

Selain itu, beberapa aktiviti fizikal yang mudah dilakukan di rumah seperti mencuci kereta, mengemas rumah, membersihkan halaman rumah dan berjalan di sekitar kawasan rumah turut memberi kesan positif kepada pembakaran kalori.

Oleh yang demikian, pada musim perayaan setiap anggota masyarakat perlu mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengelakkan kesan negatif terhadap kesihatan dan terus kekal cergas. Walaupun Syawal hanya disambut setahun sekali tidak bermakna kita harus mengorbankan status kesihatan diri dengan amalan pemakanan yang tidak sihat. Bersederhana adalah paling baik dalam semua aspek kehidupan seperti mana yang dituntut oleh ajaran Islam.

* Dr Zarizi Ab Rahman ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Mara (UiTM)Dr Zarizi Ab Rahman

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!