Pekerja kilang maut motosikal bergesel dengan lori

Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa.
Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa.
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori di KM 10 Jalan Kluang-Batu Pahat dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Arman Embong, 40, yang menetap di Jalan Mutiara Utara, Taman Mutiara, di sini.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Batu Pahat menghala ke Parit Raja telah bergesel di bahagian tayar hadapan sebelah kiri lori tersebut yang turut datang dari arah sama.

"Akibat pergeselan tersebut, mangsa gagal mengawal motosikalnya sebelum terjatuh ke atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, jenazah mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya untuk urusan pengebumian.

Katanya, pemandu lori berumur 50 tahun juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan untuk tindakan lanjut selain sampel darah mangsa dan pemandu lori juga akan diambil untuk pemeriksaan.

"Kenderaan yang terlibat dalam kemalangan ini akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan dan pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati jalan berkenaan merupakan jalan lurus empat lorong dua hala selain permukaan jalan kering dan mempunyai garisan putih putus-putus.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saya meminta orang ramai atau saksi yang melihat kejadian ini untuk tampil membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!