HMA 2019 akan diadakan di Sabah bulan hadapan

sabah
sabah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelancong dalam dan luar negara berpeluang mengenali dan menyertai sukan tradisional Sabah apabila Jabatan Muzium Sabah menganjurkan Hari Muzium Antarabangsa 2019 (HMA 2019) peringkat kebangsaan pada 15 hingga 20 Julai ini di Kota Kinabalu.

Pengarah Muzium Alam Semula Jadi, Jabatan Muzium Malaysia, Dr Farizawati Sabri berkata, terdapat sembilan sukan tradisional Sabah akan dipamerkan seperti menyumpit, membujak, rampanau, sepak manggis dan monompuri.

Farizawati yang juga Setiausaha Jawatankuasa Induk Sambutan HMA 2019 Jabatan Muzium Malaysia berkata acara sukan yang akan diadakan di Kampung Warisan 1 dan 2, Muzium Negeri Sabah itu adalah satu daripada tarikan utama pelancong dan penduduk tempatan.

"Pelbagai aktiviti telah dirangka untuk sambutan pada tahun ini. Antaranya adalah pameran oleh 24 buah muzium dari seluruh Malaysia dan juga pameran oleh Muzium Kapuas Raya, Kalimantan.

"Pada tahun ini, keistimewaan budaya dan tradisi di Sabah yang kaya dengan kepelbagaian etnik ditonjolkan dalam setiap program yang akan diadakan seperti program sukan tradisi, muzium bersama komuniti Melayu-Brunei di Kampung Benoni, Papar dan Jesselton Heritage Treasure Hunt yang akan menelusuri tempat-tempat bersejarah di sekitar Kota Kinabalu," katanya kepada Bernama.

HMA disambut setiap tahun sebagai satu bentuk pengiktirafan oleh kerajaan terhadap kepentingan muzium dan fungsinya dalam masyarakat dan pembentukan negara.

"Perayaan yang diilhamkan oleh International Council of Museums (ICOM) ternyata mendapat sambutan yang baik apabila 145 negara telah mengiktiraf dan mengambil inisiatif untuk memartabatkan perayaan Hari Muzium Antarabangsa ini.

"Sehingga kini, Hari Muzium Antarabangsa telah disertai oleh hampir 35,000 muzium yang menganjurkan pelbagai acara sambutan di seluruh dunia," katanya dan berharap orang ramai di sekitar Kota Kinabalu akan hadir memeriahkan sambutan HMA 2019.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata pihaknya juga menyasarkan sekurang-kurangnya 50,000 pengunjung akan menghadiri HMA 2019 di Perkarangan Kompleks Muzium Negeri Sabah.

Tema sambutan tahun ini yang ditetapkan oleh ICOM ialah ‘Muzium sebagai Hab Kebudayaan: Masa Depan Tradisi’. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!