Armada Bersatu Gerik sokong pendirian Tun M
IPOH - Armada Bersatu Gerik menyokong pendirian Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad berhubung pendirian Malaysia untuk tidak mengekstradisi pendakwah terkemuka dari India, Dr Zakir Naik.
Ketuanya, Dr Ahmad Safwan Mohamad berkata, pendirian berkenaan dilihat bersesuaian dengan status Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat.
Justeru menurutnya, tiada sesiapa yang berhak menekan negara ini kerana Malaysia mempunyai pendapat sendiri dalam sebarang isu, termasuklah berhubung isu keadilan terhadap Dr Zakir Naik.
“Kami berpendapat bahawa, sebarang kenyataan yang mempertikaikan tindakan Tun ini adalah tindakan yang tidak wajar dan tidak menghormati Tun sebagai pemimpin utama di negara kita.
“Amatlah penting untuk kita bersama-sama berada di belakang Tun sebagai Perdana Menteri Malaysia yang berdaulat ketika negara luar mahu mengambil kesempatan.
“Walaupun dalam era Malaysia Baharu setiap rakyat berhak menyuarakan pendapat mereka, namun pada masa kritikal sebegini, kita perlu bersatu hati mempertahankan hak dan maruah negara kita,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sementara itu Ahmad Safwan berkata, semua pihak mengetahui Dr Zakir Naik adalah penceramah Islam yang jelas menentang kekerasan antara agama.
Malah katanya, penceramah berkenaan seringkali bersuara membantah tindakan-tindakan ekstremisme.
“Beliau (Zakir Naik) juga mempunyai siaran TV yang mempromosikan keamanan, dengan nama Peace TV sedangkan pihak yang menuduh itu pula telah terpalit dengan siri-siri ketidakadilan ke atas umat Islam yang tidak boleh disangkal lagi.
“Justeru, kekhuatiran yang disuarakan oleh Tun tentang kemungkinan beliau tidak akan diadili dengan baik adalah suatu kekhuatiran yang nyata.
“Oleh itu, sekali lagi kita menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir dalam situasi kritikal ini kerana yakin bahawa Tun cukup bijaksana dalam menguasai suasana geopolitik dunia sekaligus mampu menjaga hubungan diplomatik yang baik antara Malaysia dan India,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Ekstradisi Zakir Naik: Pemuda Pas sokong Mahathir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!