Gara-gara mengantuk

Pemuda nyaris maut kereta yang dipandunya terbalik selepas terbabit dalam kemalangan di di Jalan Paya Lebar, Lubok China, Masjid Tanah.
Pemuda nyaris maut kereta yang dipandunya terbalik selepas terbabit dalam kemalangan di di Jalan Paya Lebar, Lubok China, Masjid Tanah.
A
A
A

ALOR GAJAH - Gara-gara memandu ketika mengantuk, seorang pemuda nyaris maut selepas kereta yang dipandunya terbalik selepas merempuh tiang sebuah kedai di Jalan Paya Lebar, Lubok China di sini pagi semalam.

Dalam kejadian lebih kurang jam 10.30 pagi mangsa berusia 22 tahun yang juga pelajar institut pengajian tinggi mengalami luka di bahagian tangan kanan dan kiri.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dalam perjalanan dari Seremban, Negeri Sembilan ke rumahnya di Masjid Tanah di sini.

"Bagaimanapun mangsa dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk sehingga keretanya berada terlalu dekat dengan sebuah lori yang berada di hadapannya.

"Dia yang kemudian menyedari keadaan itu terus membrek, menyebabkan kereta dipandu hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar tiang sebuah kedai dan terbalik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya individu terbabit telah hadir ke balai polis kira-kira jam 5.55 petang dan membuat laporan mengenai kejadian tersebut.

"Kita telah mengeluarkan satu saman terhadap pemuda itu kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.

"Pada musim perayaan ini kita mengingatkan dan menasihatkan supaya pengguna jalan raya berhemah dan berhati-hati memandu kenderaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!