Leher tertusuk jeriji pagar hospital

Keadaan mangsa yang tidak sedarkan diri setelah lehernya tertusuk jeriji pagar di kawasan berhampiran kaunter farmasi Hospital Taiping semalam.
Keadaan mangsa yang tidak sedarkan diri setelah lehernya tertusuk jeriji pagar di kawasan berhampiran kaunter farmasi Hospital Taiping semalam.
A
A
A

TAIPING - Hajat seorang warga emas ingin mengambil angin setelah menjalani rawatan di Hospital Taiping terbantut apabila lehernya tertusuk jeriji besi di laluan berhampiran kaunter farmasi hospital itu, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengahari, mangsa hanya dikenali Hong Chun,78, dari Kampung Boyan, di sini dikatakan pengsan lalu terjatuh di bahagian jeriji pagar bersebelahannya ketika mengambil angin sementara menunggu anaknya mengambil ubat di kaunter farmasi hospital.

Anak keduanya yang enggan dikenali berkata, pada jam 6 pagi semalam, bapanya mengalami masalah pendarahan di saluran najis dan pihaknya terus membawa bapanya ke sebuah hospital swasta.

Bagaimanapun, dia menegaskan bapanya diarahkan dihantar ke Hospital Taiping untuk diberi rawatan.

"Setelah selesai mendapatkan rawatan, saya pergi ke kaunter farmasi untuk mengambil ubat sementara bapa menunggu di kawasan berhampiran.

"Sewaktu mendapatkan ubat di kaunter farmasi, saya dikejutkan jeritan orang ramai mengerumuni bapa dan apabila menghampiri bapa, saya tergamam mendapati leher bapa tertusuk besi pada jeriji pagar dan mengalami pendarahan banyak," katanya kepada media di sini hari ini.

Anak kedua mangsa berkata, doktor dan jururawat segera membantu dan membawa bapanya yang berkeadaan parah dan tidak sedarkan diri mendapatkan rawatan kecemasan.

Menurutnya, keadaan bapanya kini stabil dan masih menerima rawatan di wad biasa.

Artikel Berkaitan:

"Saya bersyukur tiada perkara buruk terjadi kepada bapa saya dan kami enggan menyalahkan mana-mana pihak di atas kejadian berlaku," katanya.

Semalam, gambar mangsa yang tertusuk leher di jeriji pagar Hospital Taiping tular dalam media sosial setelah dikongsikan netizen.

Difahamkan mangsa berstatus warga emas yang tertusuk jeriji besi itu mengalami pendarahan banyak sehingga mencetuskan suasana panik di sana.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!