Pemuda Pas diminta terus pertahankan ulama
KUALA TERENGGANU - Kepimpinan baharu Dewan Pemuda Pas diharap dapat terus mempertahankan kepimpinan ulama kerana ia adalah satu konsep kepimpinan yang terbaik dan telus sama ada di peringkat parti atau kerajaan negeri.
Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, contoh terbaik ialah menerusi kepimpinan kerajaan Kelantan yang sebelum ini diterajui Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sehinggalah kepimpinan sedia ada sekarang.
"Kepimpinan baharu diharap dapat memelihara kesinambungan perjuangan parti khususnya berkait prinsip dan dasar dan dalam masa yang sama menjadi pendesak kepada parti untuk terus membuat perubahan terutama dalam era baharu politik negara kini yang nyata berbeza.
"Antara yang penting adalah mempertahankan kepimpinan ulama kerana ia satu konsep kepimpinan yang dimuliakan oleh Dewan Pemuda Pas sejak diterajui oleh Datuk Mustafa Ali (veteran Pas) lagi," katanya pada sidang media selepas meraikan kejayaan Pasukan inovasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam di sini, hari ini..
Muhammad Khalil berkata, persefahaman yang wujud antara golongan ulama dan profesional juga perlu dipelihara dengan baik.
"Kerajaan Kelantan terbukti memerintah dengan baik dan telus serta wujudnya persefahaman antara kepimpinan ulama dan profesional itu sendiri.
"Begitu juga Terengganu, kita dipimpin oleh Menteri Besar (Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) yang semua maklum merupakan seorang tokoh akademik dan profesional," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Khalil berkata, beliau melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda Pas bagi memberi laluan kepada muka baharu untuk menerajui kepimpinan sayap parti itu.
Menurutnya, Pas mempunyai ramai pemimpin pelapis yang baik dan pemilihan sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-65 yang dijadualkan berlangsung 21 hingga 23 Jun ini adalah proses peralihan kepimpinan yang teratur untuk parti.
"Jawatan ketua pemuda ini tiada had umur, cuma saya mengambil keputusan untuk tidak mengekalkan jawatan ini bagi memberi ruang dan peluang kepada kepimpinan baharu untuk memimpin Dewan Pemuda Pas Pusat.
"Ia kerana, kita (Pas) mempunyai pelapis yang agak baik termasuk di semua peringkat baik kawasan, negeri dan pusat. Jadi, saya mahu proses peralihan kepimpinan berlaku dengan baik dan tersusun.
"Ibarat kata orang Terengganu, kita tak nak bagi sumbak (padat) atas tu, jadi, biar proses peralihan kepimpinan berlaku dengan perlahan dan baik supaya kita boleh lihat potensi kepimpinan baharu untuk pimpin Dewan Pemuda Pas dengan lebih baik," katanya.
Pada pemilihan itu nanti, Muhammad Khalil yang merupakan anak kepada Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dicalonkan bagi merebut jawatan ahli jawatankuasa pusat bersama Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!