Amer aktif cipta robot

Amer, bapa, ibu dan adiknya bergambar kenangan ketika menyambut beliau pulang ke tanah air selepas menjuarai Pertandingan Robotik Antarabangsa KSUTEKNOROB di Turkey pada Mei yang lalu.
Amer, bapa, ibu dan adiknya bergambar kenangan ketika menyambut beliau pulang ke tanah air selepas menjuarai Pertandingan Robotik Antarabangsa KSUTEKNOROB di Turkey pada Mei yang lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Minat mendalam dalam bidang robotik membuka peluang kepada remaja berusia 15 tahun ini untuk lebih aktif menyertai pertandingan mencipta robot.

Lebih menarik dia bukan sahaja menyertai pertandingan di dalam negara malah namanya tersenarai di peringkat antarabangsa.

Bermula dengan ciptaan robot kenderaan pacuan empat roda Amer Khawarizmi Zulkarnain mula menyertai beberapa pertandingan mencipta robot.

Anak sulung daripada dua beradik ini juga pernah mengambil bahagian pada pertandingan di Politeknik Tuanku Sultanah Bahayiah, Kulim pertengahan tahun lalu dan mendapat tempat ketiga.

Menurut Amer Khawarizmi, ibu dan bapanya adalah individu yang paling banyak memberi dorongan untuk menceburkan diri dalam bidang tersebut.

Amer merakamkan gambar kenangan sewaktu menyertai 'All Japan Robot Sumo Tournament 2018' sebelum ini
Amer merakamkan gambar kenangan sewaktu menyertai 'All Japan Robot Sumo Tournament 2018' sebelum ini

“Mereka sentiasa memberi galakan kepada saya selama ini. Tanpa mereka, pasti sukar untuk saya kekal dalam bidang ini,” katanya.

Mewakili Malaysia di Tokyo

Artikel Berkaitan:

Mengimbau kenangannya sebelum ini Amer berkata, dia bersama ibunya, Suzana Adenan, 39, dan bapa, Zulkarnain A Nawani, 38, pernah mewakili Malaysia dalam Pertandingan Robot Sumo Terbuka Jepun di Tokyo, Jepun tahun lalu.

Amer dan bapanya (dalam bulatan) ketika menyertai 'All Japan Robot Sumo Tournament 2018' tahun lalu mewakili Malaysia.
Amer dan bapanya (dalam bulatan) ketika menyertai 'All Japan Robot Sumo Tournament 2018' tahun lalu mewakili Malaysia.

Amer Khawarizmi layak ke pertandingan anjuran Fujisoft Inc itu selepas pasukannya dinobatkan sebagai pasukan terbaik negara pada Kejohanan Robot Sumo Dunia dan Terbuka Malaysia di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

“Pada waktu itu saya bertanding dalam kategori Robot Sumo Autonomous. Ibu dan ayah pula menjadi pembantu dan pengurus pasukan sepanjang kejohanan itu,” katanya.

Mengulas mengenai robot sumo ciptaannya itu, Amer berkata dia mengambil tempoh sebulan untuk menyiapkannya dengan bantuan bapanya yang juga seorang jurutera.

Katanya, antara cabaran utama menyiapkan robot tersebut ialah memastikan semua komponen dipasang dengan betul.

“Saya selalu jadikan YouTube sebagai rujukan untuk mendapat idea sebelum membuat pengubahsuaian sendiri.

“Saya memang tidak meletakkan harapan ketika pertandingan di Turki itu namun kami nekad melakukan yang terbaik untuk negara dan akhirnya berjaya memenangi pertandingan itu,”katanya.

Menurut Amer, kemenangannya pada Pertandingan Robotik Antarabangsa KSUTEKNOROB pada Mei lalu turut melayakkan dia membawa pulang piala dan wang tunai 5,000 lira (RM3,372).

Amer dan bapanya menaiki podium ketika diumumkan juara Pertandingan Robotik Antarabangsa KSUTEKNOROB di Turkey pada Mei yang lalu.
Amer dan bapanya menaiki podium ketika diumumkan juara Pertandingan Robotik Antarabangsa KSUTEKNOROB di Turkey pada Mei yang lalu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks KLIA itu bersyukur kerana dapat mengharumkan nama negara dalam pertandingan bertaraf antarabangsa.

“Demi pertandingan ini, saya pernah minta menunda tarikh peperiksaan pertengahan tahun dan ternyata semuanya berbaloi,” katanya.

Persiapan PT3

Amer berkata, buat masa ini dia memberi tumpuan kepada peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3(PT3) selain persediaan bagi menyertai Kejohanan Antarabangsa Robot Sumo Penang pada Julai depan.

Zulkarnain (bapa) sentiasa memberi galakan kepada Amer untuk terus berjaya dalam bidang robotik.
Zulkarnain (bapa) sentiasa memberi galakan kepada Amer untuk terus berjaya dalam bidang robotik.

“Kejayaan dalam setiap pertandingan adalah pembakar semangat untuk saya berusaha. Saya juga perlu beri fokus supaya mendapat keputusan cemerlang pada PT3 pada Ogos depan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!