Wanita didenda miliki mercun
KUALA TERENGGANU- Seorang wanita didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini kerana memiliki pelbagai jenis mercun tanpa lesen yang sah.
Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu setelah tertuduh, Nozifadiyana Zulkifli, 30, dari Batu Rakit, mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).
Sebelum itu, dalam rayuannya, tertuduh yang tidak dapat menahan sebak merayu agar mahkamah meringankan hukumannya.
Dia mendakwa, selain membantu menyara adiknya yang masih bersekolah, dia terpaksa meminjam wang bagi membeli mercun itu dari kenalannya, untuk dijual kepada pelanggan.
Berdasarkan pertuduhan, dia didapati memiliki pelbagai jenis bahan letupan pada 30 Mei lalu, kira-kira jam dua pagi di sebuah rumah di Batu Rakit.
Sementara itu di mahkamah yang sama, Muhammad Adli Ikram Ismail, 27, dari Tok Adis dikenakan hukuman denda RM1,000 atau penjara sebulan sekiranya gagal membayarnya kerana memiliki mercun tanpa lesen yang sah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 1 Jun lalu, kira-kira jam tiga pagi di dalam bonet kereta di tepi jalan raya, di Kampung Pengadang Baru.
Oleh itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Nabihah Hanim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!