Politik Malaysia jatuh pada tahap terendah
KOTA BHARU - Penyebaran video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet, menggambarkan politik Malaysia berada pada standard yang begitu rendah.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, malang sekali kerana negara dicemari perkara sebegitu.
“Saya tidak nafikan, mungkin ada agenda politik disebalik tersebar video ini, pihak yang terlibat sahaja yang lebih tahu.
“Kita juga tidak dapat pastikan tujuan ia dilakukan namun dari satu sudut, ia merendahkan martabat politik negara.
Beliau demikian ketika diminta mengulas mengenai penularan video intim luar tabii yang dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet, semalam.
Mohd Amar berkata, Pas menyerahkan isu itu kepada pihak berkuasa dan mengambil tindakan dengan segera.
Lebih-lebih lagi katanya, selepas ada pengakuan oleh seorang pemuda mendakwa terlibat secara langsung.
Dalam pada itu, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan menasihati ahli Pas supaya tidak mengulas dan menyebar video berkenaan.
“Kita tidak tahu benar atau salah tetapi bila ada pengakuan maka kena rujuk dengan pihak berkuasa sebab ia melibatkan Kanun Keseksaan Seksyen 377A dan 377B.
“Kita serah kepada polis dan Mahkamah Syariah,” katanya pada sidang akhbar mesyuarat exco di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!