Kejam! Jerut, gantung kucing sampai mati
SHAH ALAM - “Pagi-pagi buta dah buat aku angin ni,” ciap ‘Deanna Rasyid’ dalam laman Twitternya.
‘SyakiebTalib’ pula menulis: “Barang siapa tidak mengasihi makhluk ALLAH maka ALLAH tidak akan mengasihi dia.”
“Please viralkan sampai kena tangkap. Ya ALLAH, tak berani nak tengok video tu,” tulis ‘Linaftn’.
Semuanya mengecam tindakan kejam seorang lelaki menjerut leher seekor kucing menggunakan tali dan menggantungnya di tangga sehingga mati.
Video kejam itu dikongsikan seorang pengguna laman Twitter menggunakan nama ‘izzatshvkri_’ yang mendakwa kejadian itu berlaku di Wangsa Maju pada Isnin lepas.
“Semalam (Isnin) dekat Wangsa Maju ada kes kucing mati kena bunuh. Leher kucing itu kena ikat dan digantung dekat tangga sampai mati.
“Mula-mula kucing itu dapat selamatkan diri, kali kedua suspek itu buat lagi sekali sampai kucing itu mati,” katanya.
Pengguna tersebut turut berkongsi dua video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 2.20 minit dan 1.20 minit memaparkan tindakan lelaki tersebut menjerut leher kucing berwarna oren dan kemudian menggantungnya di tangga.
Selepas bergelut beberapa saat, haiwan malang itu berjaya melepaskan diri dari jerutan dan perlahan-lahan meninggalkan kawasan tersebut.
Begitupun, lelaki itu kemudiannya sekali lagi menangkap kucing tersebut dan melakukan perkara sama dan kali ini, difahamkan kucing itu mati selepas dijerut dan digantung buat kali kedua.
Video itu menimbulkan kemarahan warganet dan mereka mahu pelakunya ditangkap serta dikenakan hukuman setimpal.
“Ye dah tengok (video). Ini kucing kawan Cik Seha. Jahatnya manusia. Tapi kucing tu masuk syurga, yang buat tu wallahualam,” ciap ‘nshbdn’.
“Dia memang takde perasaan belas kasihan ke? Aku tengok kucing duk miaw sebab lapar pun rasa kesian gila,” tulis ‘lysasyaqina’.
Berdasarkan pemerhatian Sinar Harian, video pertama dikongsi ‘izzatshvkri_’ telah ditonton hampir 50,000 pengguna manakala video kedua pula ditonton hampir 13,000 warganet.
Sementara itu, memetik laporan Harian Metro, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Muhammad Najib Hamzah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!