Hanya satu sahaja rumah pam berfungsi dengan baik
MELAKA - Hanya satu daripada empat sistem pam di Pintu Kawalan Air Barrage di Muara Sungai Melaka yang berfungsi, dikatakan menjadi punca berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan rendah sekitar bandaraya ini sejak awal pagi tadi.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, sebanyak RM10 juta diperlukan bagi memastikan sistem berkenaan dapat diperbaiki semula yang berpunca dari longgokan sampah sarap.
Menurutnya, kebanyakan daripada pam air yang mengepam lebihan air ke Sungai Melaka berfungsi dengan baik semasa namun disebabkan gangguan sampah yang banyak, ia menyebabkan air lambat dipam keluar dan mengakibatkan banjir kilat.
"Kita percaya kalau isu penyelenggaraan ini dapat diselesaikan selewat-lewatnya penghujung tahun ini, banyak masalah banjir di diatasi di masa akan datang.
"Namun, kita mengharapkan ada kesedaran yang tinggi pada rakyat supaya tidak membuang sampah sewenangnya ke dalam sistem saliran kita," katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke beberapa kawasan terjejas akibat banjir kilat sekitar Bandaraya Melaka, hari ini.
Hadir sama ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Azlan Abidin.
Jelas Adly lagi, pihaknya juga ada mencadangkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya dapat melihat semula reka bentuk sistem pam sedia ada yang digunakan pakai.
"Bagi mengatasi masalah barrage ini, kerajaan negeri telah mengarahkan Exco berkaitan dan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengadakan perbincangan dengan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli bagi mempercepatkan proses penyelenggaraan barrage tersebut.
"Di peringkat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri pula, satu lawatan teknikal telah diadakan dan diharapkan konsultan dilantik dapat melihat semula kaedah barrage yang digunakan termasuk mengkaji semula reka bentuknya yang didapati kurang berkesan untuk menyelesaikan masalah banjir kilat berkenaan," katanya.
Di samping itu, tambahnya, pembinaan rumah pam fasa kedua di Sungai Melaka juga akan dimulakan semula dan diharap dapat berfungsi selewat-lewatnya Ogos ini bagi menyelesaikan beberapa isu banjir di sekitar bandar.
Sementara itu, hujan lebat selama lebih dua jam sejak awal pagi telah mengakibatkan seramai 68 mangsa daripada 19 keluarga di Kampung Enam dipindahkan sementara ke Balai Raya Taman Anika, Kampung Lapan di sini.
Sebanyak 10 kawasan perumahan termasuk kampung dan taman terjejas termasuk Taman Melaka Baru Fasa 2, Taman Limbongan, Taman Merdeka, Taman Malim, Taman Bachang, Taman Lorong Pandan, Taman Jati, Taman Rumpun Bahagia dan Pulau Kelapa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!