Tiada rundingan semula perjanjian Brexit

Jean-Claude Juncker
Jean-Claude Juncker
A
A
A

BRUSSELS - Perjanjian Brexit yang dipersetujui dengan Kesatuan Eropah (EU) sebelum ini tidak akan dirunding semula tanpa mengira siapa bakal dilantik sebagai Perdana Menteri baharu Britain.

Kenyataan itu dibuat Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker semalam selepas Britain menamakan 10 calon yang akan menggantikan bekas Perdana Menteri, Theresa May.

“Ini bukan perjanjian antara May dan Juncker. Ini adalah perjanjian antara Britain dan EU. Ia perlu dihormati sesiapa sahaja yang bakal menjadi Perdana Menteri baharu negara tersebut.

“Perjanjian keluar EU itu tidak akan dirunding semula,” katanya merujuk kepada perjanjian setebal 585 muka surat itu menerusi wawancara bersama laman berita Politico.

Menurutnya, beberapa perubahan masih boleh dibuat tentang hubungan masa depan dan deklarasi politik yang menyertainya. Juncker juga menolak untuk memperkenalkan had masa ke atas backstop yang berkaitan isu sempadan Ireland Utara dan Republik Ireland kerana Brexit boleh mencetuskan ketegangan bersejarah antara Dublin dan Belfast.

Selain itu, beliau turut mengkritik pergolakan politik dalaman di Britain.

“Saya mempunyai tanggapan, fokus utama politik di Britain untuk tempoh beberapa bulan akan datang adalah bagaimana untuk menggantikan May dan bukan mencari kesepakatan dengan EU berhubung Brexit,” ujarnya lagi.

May melepaskan jawatannya sebagai pemimpin Parti Konservatif selepas beberapa kali gagal mendapatkan sokongan Parlimen berhubung perjanjian Brexit yang dicapai dengan EU pada November 2018.

Artikel Berkaitan:

Isu tersebut akan menjadi cabaran terbesar kepada penggantinya untuk merealisasikan rancangan keluar dari blok terbabit mengikut tarikh akhir ditetapkan pada 31 Oktober depan. - DPA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!