Hannah, Steven jumpa mufti
PUTRAJAYA - Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim mengadakan pertemuan bersama Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi mendapatkan pandangan berhubung penyelesaian masalah sosial, hari ini.
Menerusi pertemuan kira-kira sejam itu, Hannah menyifatkan ia perbincangan positif dan memberi input kepada kementerian dalam membuat keputusan berkaitan program pemulihan dan rehabilitasi sosial pada masa depan.
"Kedua-dua portfolio bagi kementerian ada melibatkan golongan muda, kanak-kanak dan cabaran realiti yang mereka hadapai sekarang.
"Saya rasa pertemuan ini memberi manfaat dengan perkongsian bersama pejabat mufti, saya merasakan ia amat penting dalam tindakan kita pada masa depan.
"Antara data dan isu yang dibincangkan termasuklah kes melibatkan bawah umur, kesihatan mental, perkahwinan dan perceraian, pembuangan bayi selain perbincangan berkenaan cara penambahbaikan yang boleh dilaksanakan hala tuju untuk tahun depan," katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu, Dr Zulkifli berkata, perkongsian dalam pertemuan itu satu mukaddimah baik terutama merungkai isu masyarakat di Malaysia berkenaan gejala sosial dan isu-isu yang sepatutnya diselesaikan.
Katanya, dapatan yang dikemukakan oleh Hannah dan Steven menunjukkan pihak terlibat perlu bergerak dan menangani isu-isu ini dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan juga bersifat realistik untuk menyelesaikannya dengan sebaik mungkin.
“Data yang ditunjukkan menunjukkan satu makna, kita tidak boleh lagi hanya berteori sebaliknya kita perlu melakukannya sebaik mungkin.
“Dalam bidang tugas kami sebagai mufti, salah satu daripadanya adalah menasihati kerajaan dalam apa-apa isu khususnya berkaitan agama, kehidupan, sikap dan akhlak.
“Kami tidak hanya melihat semata-mata kepada hukum hakam, tetapi bagaimana untuk kita mahu melahirkan masyarakat yang aman, tenang dan merasa seadanya berada di Malaysia.
“Baru-baru ini juga kita kemukakan di laman sesawang kita satu konsep yang dipanggil Fiqh Al-Ta'ayush yang bermaksud fiqh kemajmukan yang melibatkan masyarakat keseluruhannya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!