Isu kediktatoran Kabinet

A
A
A

SEHARI sebelum hari raya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan pelantikan peguam kontroversi Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Pelbagai pihak mempersoalkan lantikan itu yang dianggap ‘bersifat politik’ disebabkan Latheefa sendiri pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan rapat dengan pemimpin kanan parti itu ketika menjadi aktivis politik dan peguam dalam kes mahkamah yang melibatkan pemimpin PKR.

Mungkin sengaja Tun Mahathir memilih musim perayaan untuk mengumumkan pelantikan itu. Barangkali beliau menjangkakan kesibukan persiapan hari raya akan mengurangkan sedikit pemikiran orang ramai terhadap perkara itu.

Namun begitu, perkara sebaliknya yang berlaku. Secara peribadi penulis melihat ada aspek positif daripada pelantikan ini, antaranya, pemerkasaan wanita dalam perkhidmatan awam terus dikukuhkan apabila melantik Latheefa sebagai wanita pertama mengepalai SPRM selepas kerajaan melantik Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara.

Namun selain itu, lebih banyak aspek negatif daripada pelantikan itu. Pertama, sudah tentu ia memperlihatkan bagaimana Pakatan Harapan (PH) sekali lagi membelakangi janjinya itu untuk tidak membuat sebarang lantikan bersifat politik dalam kerajaan. Dalam kes ini, melantik ‘orang politik’ ke dalam agensi bebas yang memantau ‘orang politik’ menjadikan rakyat makin gelisah dan kecewa bukan sahaja dengan PH malah SPRM itu sendiri. Harus diingat, antara motivasi rakyat dalam mengubah kerajaan ketika PRU lalu adalah disebabkan marah dengan amalan melantik orang politik ke dalam jawatan utama kerajaan dan seterusnya merosakkan pentadbiran.

Kedua, pelantikan itu juga dilihat membelakangi prinsip tanggungjawab bersama yang selalunya mendasari sistem demokrasi berparlimen di mana dalam sistem itu, mesyuarat Kabinet berfungsi sebagai tempat untuk membuat keputusan penting dan setiap keputusan dibuat dalam mesyuarat itu perlu dipersetujui bersama oleh semua menteri berdasarkan prinsip ‘setuju untuk tidak bersetuju’ yang menjadikan setiap ahli Kabinet perlu mempertahankan keputusan itu walaupun tidak bersetuju secara peribadi.

Apabila Tun mengumumkan bahawa keputusannya melantik Latheefa tanpa berbincang dengan anggota Kabinet, ia jelas bertentangan dengan prinsip itu. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan betapa luas dan besarnya kuasa Perdana Menteri dalam kerajaan dan pentadbiran, bertentangan dengan apa yang sepatutnya berlaku di mana Perdana Menteri dan Kabinet seharusnya membuat keputusan bersama.

Mengikut perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong berhak untuk memperkenankan pelantikan mana-mana jawatan utama dalam pentadbiran kerajaan selepas mendapat nasihat Perdana Menteri dan Kabinet.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes ini, walaupun pelantikan Latheefa sah dari segi undang-undang, dari sudut moralnya ada kewajaran untuk mempersoalkannya. Memang ada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Untuk Melantik Jawatan-jawatan Utama Perkhidmatan Awam ditubuhkan bagi tujuan berikut, namun percantuman kuasa antara badan eksekutif iaitu Kabinet dan badan perundangan dalam sistem Parlimen melalui doktrin percantuman kuasa membolehkan Kabinet mendominasi dan mendahului Parlimen yang diistilahkan sebagai ‘kediktatoran Kabinet’.

Kediktatoran Kabinet berlaku antaranya kerana sistem parti yang diamalkan, kekangan masa Parlimen dalam membahaskan isu secara terperinci dan hak prerogatif Perdana Menteri. Dalam konteks Malaysia, Parlimen dilihat hanya sebagai tempat meluluskan undang-undang berbanding menggubalnya. Penggubalan undang-undang selalunya dibuat Kabinet. Oleh sebab itulah, Perdana Menteri dan Kabinetnya mempunyai dua tanggungjawab yang berbeza di Parlimen.

Tanggungjawab besar dan mencabar yang bakal digalas oleh Latheefa di SPRM kini sudah tentu akan diperhatikan dengan lebih dekat oleh semua pihak. Dua tahun tempoh yang diberikan mesti digunakan sepenuhnya untuk mengembalikan kredibiliti dan taring SPRM dalam membanteras rasuah.Melantik ‘orang politik’ ke dalam agensi bebas yang memantau ‘orang politik’ menjadikan rakyat makin gelisah.

"* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!