Syahdu idulfitri dirosakkan oleh gajet
A
A
A
Memang, gema takbir pagi Syawal masih menusuk seperti tahun-tahun silam. Nasi dagang, nasi minyak, ketupat dan rendang masih lazat seperti dulu.
Ikan celup tepung, keropok likur, kuah singgang, laksang dan lain-lain makanan tradisional Terengganu tetap dengan rasa asli, tidak berubah sedikit pun.
Malah tahun ini raya di Kuala Terengganu lebih ceria kerana ada mercu tanda yang menjadi tumpuan ramai iaitu jambatan baharu yang menghubungkan pusat bandar ke Seberang Takir.
Jambatan drawbridge sepanjang 632 meter yang belum diberi nama rasmi dan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara itu tidak syak lagi menjadi ikon baharu yang menceriakan idulfitri.
Namun secara peribadi saya merasakan raya tahun ini sudah tidak seperti dulu-dulu. Bukan kerana orang kesayangan – abah dan emak – sudah tidak bersama....
Tetapi semuanya gara-gara kedatangan dan kewujudan ‘orang’ baharu. Meski tidak bernyawa, ‘orang’ ini peramah dan sentiasa menawan.
Insan tidak bernyawa tetapi sentiasa menawan itu ialah telefon bimbit. Gajet keluli inilah yang terang-terang merosakkan idulfitri zaman sekarang.
Pertemuan dan kunjungan raya yang sepatutnya digunakan untuk mengeratkan hubungan sesama keluarga telah dicemari oleh gajet tanpa perasaan.
Tiada lagi bertanya khabar berita, jauh sekali untuk bercerita dan berkongsi pengalaman, kunjungan ke rumah terbuka, tidak lagi menjalin mesra sesama insan.
Setiap tetamu yang datang, tidak kira usia dan jantina, lebih mesra dengan keluli, bukan dengan manusia. Mereka berkomunikasi dengan gajet bukan dengan manusia.
Semuanya kelihatan seperti lakonan: Sebaik tiba di rumah terbuka, termasuk rumah sanak-saudara, semua akan bersalaman dan berpelukan.
Bertegur-sapa ala kadar, kemudian menjamah apa yang terhidang – jika itu rumah ketiga atau keempat, tidak selera lagi untuk dijamah, hanya dilihat.
Kemudian masing-masing tidak menghiraukan lagi tuan rumah, termasuk yang tua-tua, juga tidak tertarik untuk bersilaturahim dengan hadirin.
Sebab masing-masing asyik dengan gajet di tangan. Sambil mengunyah makanan atau meneguk minuman pun mata dan fikiran tertumpu pada skrin gajet.
Masing-masing tersenyum sendirian membaca apa yang terpapar pada skrin, malah ada yang bercakap sendirian dan marah-marah seperti orang gila.
Apa yang menjadikan mereka gila dan lupa orang keliling ialah paparan dan hantaran menerusi WhatsApp, Facebook, Instagram dan lain-lain kegilaan media sosial.
Setiap saat telefon bimbit berdecit dan akan ada paparan yang entah apa-apa, tetapi mesti diteliti. Ada gambar langsir baharu, ada gambar bakar lemang, malah melapah daging untuk rendang pun diberitahu menerusi gajet.
Dan di Kuala Terengganu untuk raya kali ini, paparan wajib yang mesti dimasukkan menerusi gajet ialah gambar pelbagai aksi berlatar-belakang drawbridge.
Dalam pakaian raya serba baharu, ada yang tersenyum. Terlentuk dalam pelukan kekasih, ada yang tersengih entah apa-apa. Mesej pada gambar hampir serupa: “gembira di hari raya bersama jambatan baru Kuala Terengganu.”
Ada juga hantaran sempoi kerana tidak dapat pulang beraya, ada kisah semprit hangus kerana terlena, ada cerita tidak dapat beraya kerana kedai jahit tidak sempat menyiapkan tempahan.
Cuba fikirkan, apa perlunya hal-hal remeh seperti baju raya tidak siap hendak diceritakan dalam WhatsApp atau Facebook? Apa perlunya share aksi di jambatan baharu?
Apa yang tidak perlu dikongsi, kini semuanya menjadi hantaran di media sosial. Itu tidak termasuk sekian banyak kisah dalam kain dan lain-lain fitnah yang dengan megah hendak dikongsi.
Betul atau palsu sesuatu item tidak penting, apa yang penting siapa yang menjadi orang pertama menyebarkan item berkenaan. Siapa yang berjaya menjadi penyebar fitnah nombor satu!
Demikianlah masyarakat kita, tidak kira tua atau mula, hanyut dalam kegilaan bergajet-gajet yang luar biasa. Silaturahim yang sepatutnya dijalin dirosakkan oleh gajet.
Bulan mulia yang sepatutnya disemarakkan dengan kesyahduan dan kemaafan, dicemarkan dengan perkongsian dan penyebaran fitnah.
Gajet telah menjadikan masyarakat kita gila dan hilang budi bicara!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!