Bunuh anak kerana sepahkan roti
OMSK OBLAST - Seorang ibu dari Rusia dituduh membunuh anak perempuannya berusia dua tahun kerana menyepahkan roti di atas lantai.
Svetlana Mirzoeva, 28, dikatakan menyumbat sepotong besar roti ke dalam mulut anaknya sebagai hukuman kerana bermain dengan makanan.
Kejadian di bandar Omsk itu berlaku ketika waktu makan malam apabila anak kecil yang ketika itu bersendirian di dapur bermain dengan sebuku roti.
Mirzoeva yang berang melihat cebisan roti bersepah di atas lantai bertindak memangku anaknya lalu menyumbat sepotong besar roti ke dalam mulut kanak-kanak itu dengan kasar.
Ibu beranak dua itu hanya berhenti setelah tangan anaknya terkulai dan tubuhnya tidak lagi bergerak.
"Dia berhenti bernafas dan saya cuba menarik keluar roti tersebut keluar dari mulutnya.
"Kemudian saya sedar yang dia telah meninggal dunia," kata Mirzoeva ketika disiasat polis.
Ekoran kematian anaknya, Mirzoeva memujuk teman lelakinya agar menyembunyikan mayat mangsa.
Mayat anak kecil itu dibungkus dengan sehelai tuala sebelum dimasukkan ke dalam beg lalu dibuang.
Mirzoeva dan teman lelakinya kemudian menjalani kehidupan seperti biasa seolah-olah tiada apa yang telah berlaku.
Namun jiran terdekat mula berasa curiga apabila kelibat anak perempuannya tidak lagi kelihatan.
Laporan polis yang dibuat membawa kepada penangkapan Mirzoeva dan siasatan berhubung kes yang berlaku sebulan lalu masih berjalan.
Mayat anak kecil itu belum ditemukan ekoran kematian teman lelaki Mirzoeva akibat keracunan alkohol 10 hari selepas insiden yang meragut nyawa mangsa.
Sekiranya disabitkan bersalah, Mirzoeva bakal dihukum penjara 15 tahun. - Dailymail
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!