Dua lelaki ditahan miliki pelbagai jenis dadah

Antara barang rampasan yang ditemui bersama lelaki berusia 52 tahun itu di sebuah kebun getah, di sini semalam.
Antara barang rampasan yang ditemui bersama lelaki berusia 52 tahun itu di sebuah kebun getah, di sini semalam.
A
A
A

KUALA LIPIS - Seorang mekanik ditahan kerana memiliki pelbagai jenis dadah dalam serbuan Ops Tapis, di sini hari ini.

Ketua Polis Kuala Lipis,Superintendan Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di bilik rumah kongsi sebuah kilang papan di daerah ini kira-kira jam 1.30 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan fizikal ke atas lelaki itu tidak menemui barangan terlarang.

"Namun hasil pemeriksaan di dalam bilik itu menjumpai satu bekas plastik warna biru bertudung di atas lantai bilik tidur lelaki itu.

"Kita menemui satu plastik lutsinar berisi ketulan kristal dan 35 keratan tiub straw pelbagai warna berisi serbuk kristal disyaki dadah syabu seberat 10.26 gram bernilai RM500," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, turut dijumpai satu plastik lutsinar berisi ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja seberat 6.30 gram bernilai RM50 dan satu peket plastik lutsinar berisi serbuk ketulan warna putih disyaki heroin seberat 17.30 gram bernilai RM130.

"Hasil siasatan awal lelaki itu mengaku dadah terbabit adalah miliknya dan diperoleh dari Kajang dan pemeriksaan lanjut mendapati suspek memiliki empat rekod lampau berkaitan dadah.

"Hasil ujian saringan polis juga suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952.

Sementara itu dalam serbuan Ops Sarang, Azli memberitahu seorang lelaki berusia 52 tahun ditahan, semalam.

Menurutnya,serbuan dilakukan di sebuah pondok dalam kebun getah sebuah kampung di sini pada jam 11 pagi.

"Suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan dan pemeriksaan fizikal dilakukan gagal menemui barangan terlarang.

"Pemeriksaan di kawasan sekitar menemui satu beg galas berzip warna kelabu di atas tanah dan menjumpai beg goodie warna coklat berisi tiga ketulan mampat dedaun kering dibungkus dengan plastik lutsinar disyaki ganja seberat 235.72 gram bernilai RM500.

"Turut ditemui satu bekas plastik lutsinar berisi dua peket plastik lutsinar iaitu setiap peket berisi ketulan warna putih disyaki heroin seberat 8.26 gram bernilai RM400," ujarnya.

Azli berkata, hasil ujian saringan awal lelaki yang berasal dari Subang Jaya itu positif dadah jenis methaphetamine.

"Suspek mengaku dadah yang dijumpai adalah milliknya dan diperoleh di kawasan Mela di sini.

"Suspek memiliki satu rekod lampau berkaitan dadah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!