Tanpa kuat kuasa apa pun tak jadi

Tanpa penguatkuasaan yang baik, tiada matlamat mampu dicapai dengan berkesan.
Tanpa penguatkuasaan yang baik, tiada matlamat mampu dicapai dengan berkesan.
A
A
A

DI NEGARA kita, pihak berkuasa sangat prihatin. Ada sahaja masalah dan isu yang perlu ditangani, kita sudah siap sedia dengan jawatankuasa dan persiapan rapi. Namun, kadang-kadang apa yang terjadi tidak memenuhi kehendak dan mencapai matlamatnya.

Contohnya, kita perkenal langkah kurangkan kemalangan jalan raya, banteras penipuan berkaitan harga barang dan caj perkhidmatan, kita dapati hasilnya kadang-kadang sungguh mengecewakan. Mudah cakap, niatnya baik, tapi matlamat tidak tercapai.

Kenapa jadi demikian? Saya percaya, ia tidak memerlukan kita pecahkan kepala dapatkan jawapannya. Dalam banyak kes, maaf cakap; masalahnya hanyalah satu, ialah ketiadaan penguatkuasaan tegas, bersungguh-sungguh dan berkesan.

Tahun 2019 tinggal beberapa hari sahaja lagi. Macam biasa, tahun baharu, banyaklah perkara baharu, semangat baharu, undang-undang baharu dan matlamat baharu.

Kita akan ada, satu daripadanya, perkhidmatan pengangkutan lebih canggih, mudah dan murah melalui pengenalan My100 dan My50. Kita doakan ia akan mencapai matlamatnya dalam memberi perkhidmatan murah untuk rakyat.

Satu lagi yang sudah kecoh sejak bertahun lamanya ialah isu pengharaman merokok di tempat awam, dalam bas, restoran dan sebagainya. Mulai tahun depan, merokok di restoran, gerai dan warung akan diharamkan. Mereka yang langgar undang-undang akan dikenakan denda berat. Cukuplah dahulu dengan langkah begitu walaupun di beberapa negara, kesalahan berkaitan merokok dikenakan hukuman penjara.

Melihat amalan buruk yang terus berlaku hari ini di negara kita, tak tahulah saya sejauh mana kita mampu capai matlamat dicita-citakan.

Kita kuatkuasakan undang-undang menghalang remaja membeli rokok dan melarang rokok dijual kepada mereka, tetapi apa yang kita lihat hari ini sangat menyakitkan hati.

Artikel Berkaitan:

Pada April tahun lalu, menghisap rokok tidak lagi dibenarkan di kawasan perkhemahan, gelanggang dan padang permainan dan taman awam. Tetapi, siapa dalam kalangan kita tidak pernah melihat remaja, tanpa segan silu, menghisap rokok dengan bangganya. Malah, ada hisap rokok di kawasan dilarang merokok.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang tentu setuju dengan saya. Malah, pegawai pendidikannya NV Subbarow, dalam satu kenyataan, mengatakan pelajar-pelajar boleh mendapat rokok dengan mudah. Beliau patut tahu apa yang dikatakannya kerana beliau berhubung rapat dengan sekolah dan guru.

Seperti yang dilaporkan dalam the Star dua hari lalu, pelajar-pelajar boleh membeli rokok di stesen minyak, pasar mini dan pasar raya. Mereka yang tak ada banyak duit masih boleh membeli sebatang dua.

Apakah tidak mungkin mereka turut merokok dalam tandas sekolah? Bahkan menurut beliau, terdapat aduan ada segelintir guru amal tabiat sama.

Menurut Setiausaha Agung NUTP Harry Tan, merokok masih menjadi masalah disiplin di sekolah. Walaupun ada langkah berjaga-jaga dan amaran pihak berkuasa dan pengurusan sekolah, tabiat itu terus berlaku.

Semua kita sudah tahu hanya 11 hari lagi kita akan ada undang-undang baharu, iaitu berkaitan larangan merokok di restoran, warung dan gerai. Apakah peraturan ini akan dapat dipatuhi seperti yang diharapkan?

Masalahnya, kali ini bukan sahaja pihak penguat kuasa perlu menangani perangai remaja dan pelajar, tetapi kali ini berhadapan dengan semua, sama ada yang muda atau pun yang dewasa.

Seperti dalam banyak perkara di negara kita, pihak berkuasa patut dihargai kerana sentiasa prihatin untuk menjamin kebaikan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Yang menjadi persoalan, mampukah mereka memantau, mengawal dan menyekat tindakan melanggar undang-undang dalam kalangan masyarakat.

Perlu disebut, tanpa penguatkuasaan yang baik, tiada matlamat mampu dicapai dengan berkesan. Sebab itu, dalam apa sahaja tindakan, rancangan atas kertas sahaja tidak bawa ke mana-mana.

Kita memerlukan penguatkuasaan yang tidak ada kompromi di samping peranan masyarakat sebagai mata dan telinga pihak berkuasa.Penulis bekas wartawan yang cenderung menulis mengenai pelbagai isu untuk kepentingan rakyat dan negara

* Penulis bekas wartawan yang cenderung menulis mengenai pelbagai isu untuk kepentingan rakyat dan negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!