Konsultasi Rakyat PTPTN tamat tengah malam ini: Wan Saiful
KUALA LUMPUR - Hari ini merupakan hari terakhir untuk mana-mana individu menyertai Konsultasi Rakyat Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN), demikian menurut pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan.
Beliau berkata, sehingga 10 Jun 2019 sebanyak 24,918 maklum balas telah diterima daripada 239,335 pengunjung portal rasmi tersebut.
“PTPTN menggalakkan orang ramai untuk memberikan maklum balas mengenai hutang pinjaman pelajar yang tinggi dan kian bertambah, di mana memberi kesan kepada negara, serta usaha memastikan peminjam tidak terlalu dibebani melalui skim bayaran balik pinjaman yang lebih berpatutan.
“Rakyat mempunyai peranan dalam membantu Kabinet membuat keputusan mengenai skim bayaran balik yang lebih mampu tanpa menghalang akses pelajar untuk mendapatkan pinjaman pada masa depan, mengancam kelangsungan PTPTN dalam memenuhi kepentingan generasi akan datang, atau menyebabkan kekangan terhadap kewangan nasional.
“Oleh itu rakyat boleh mengemukakan maklum balas mereka menerusi portal rasmi PTPTN di https://www.ptptn.gov.my/kertas-konsultasi-rakyat sebelum ia ditutup pada tengah malam ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, erti kata rakyat adalah merangkumi pelbagai segmen rakyat dan bukan tertumpu kepada kumpulan orang awam sahaja di mana mempunyai keperluan dan kehendak yang berbeza.
“Sama ada anda peminjam semasa, peminjam masa depan, ibu bapa, pembayar cukai atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), anda hanya boleh diwakili jika anda memilih untuk melibatkan diri.
“Kerajaan sedang mendengar rakyat. Ramai berkata 'burung yang paling kuat berkicau akan mendapat cacing'. Itulah lumrah secara amnya, 'jika burung-burung lain tidak mahu kelaparan, mereka haruslah mula berkicau juga'," katanya.
Dalam pada itu, Wan Saigful berkata, PTPTN memerlukan sekitar RM3 bilion setahun untuk diberi pinjaman kepada kira-kira 180,000 pemohon baharu.
“Mengikut anggaran PTPTN, setiap kekurangan RM70 juta berpotensi menafikan 10,000 pemohon baharu daripada mendapatkan pinjaman,” jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kertas konsultasi langkah terbaik PTPTN pastikan kelangsungannya
Terdahulu, Pengarah Institut Kajian Analisis Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia Dr Mashitah Mohd Udin bersetuju sepenuhnya dengan kertas konsultasi yang dikemukakan oleh PTPTN ini.
Beliau berkata, kertas Konsultasi Rakyat Berkaitan Mekanisme Bayaran Balik PTPTN ini sebenarnya adalah langkah sangat terpuji yang diambil oleh Wan Saiful bagi mendapatkan maklum balas secara terbuka dan demokratik daripada para pemegang taruh dan seterusnya rakyat mengenai mekanisme bayaran balik PTPTN.
Sekatan perjalanan ke atas peminjam liat sebenarnya hanyalah satu juzuk kecil daripada Idea 6 yang dikemukakan oleh para pemegang taruh iaitu 'Penguatkuasaan Yang Lebih Tegas Terhadap Mereka Yang Tidak Membayar Balik Dalam Tempoh Yang Lama'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!