Baki lapan keluarga mangsa banjir dibenar pulang hari ini

Mohd Faizal (empat, kiri) berbincang sesuatu dengan ADUN Jeram, Shaid Mohd Rosli ketika kunjungan meninjau mangsa banjir di PPS Dewan MDKS Desa Coalfields.
Mohd Faizal (empat, kiri) berbincang sesuatu dengan ADUN Jeram, Shaid Mohd Rosli ketika kunjungan meninjau mangsa banjir di PPS Dewan MDKS Desa Coalfields.
A
A
A

KUALA SELANGOR – Baki lapan keluarga yang masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan MDKS Desa Coalfields dibenarkan pulang hari ini.

Mereka adalah sebahagian 25 keluarga melibatkan 86 mangsa banjir dibenarkan pulang selepas banjir yang melanda kawasan penempatan mereka surut sepenuhnya.

Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Abd Raji berkata, kesemua mangsa dibenarkan pulang dan PPS Dewan MDKS Desa Coalfields akan ditutup bermula jam 2 petang nanti.

Menurutnya, hasil tinjauan mendapati keadaan banjir yang melanda Kampung Sri Aman, Sri Sentosa dan Merbau Indah dilaporkan surut sepenuhnya.

“Hujan lebat yang melanda kawasan lembangan Sungai Buloh menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air pada Selasa lalu.

“Bagaimanapun, semua mangsa banjir sudah dibenarkan pulang secara berperingkat bermula semalam lagi memandangkan ada kawasan sudah surut lebih awal,” katanya.

Mohd Faizal (kanan) bersama ADUN Paya Jaras, Khairuddin Othman menemui mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan MDKS Desa Coalfields.
Mohd Faizal (kanan) bersama ADUN Paya Jaras, Khairuddin Othman menemui mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan MDKS Desa Coalfields.

Mohd Faizal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor berkata, agensi yang terlibat membantu dalam proses pemindahan mangsa banjir adalah pasukan bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pejabat Tanah Daerah Kuala Selangor.

Artikel Berkaitan:

“Turut membantu MDKS, ketua komuniti, pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Jabatan Kebajian Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Selangor.

“Wakil rakyat termasuk ADUN Jeram, Shaid Mohd Rosli dan ADUN Paya Jaras, Khairuddin Othman turut meninjau mangsa banjir,” katanya.

Terdahulu katanya, PPS Dewan MDKS Desa Coalfields dibuka pada jam 7 malam bagi menempatkan 25 keluarga yang terjejas akibat banjir.

“Bantuan barangan bencana asas diagihkan kepada mangsa banjir pada malam pertama mereka ditempatkan PPS terbabit.

“Pada malam kedua, bilangan keluarga yang masih tinggal di Pusat pemindahan sementara adalah seramai lapan keluarga melibatkan 30 mangsa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!