Bolehkah minum dalam satu nafas?
SETIAP perbuatan yang kita lakukan sudah tentu ada caranya dan adab yang perlu dijaga.
Begitu juga apabila kita minum air di dalam cawan mahupun bekas minuman.
Dalam hal itu, benarkah kita dilarang meminum air dalam satu nafas?
Dalam sebuah hadis, daripada Anas bin Malik RA berkata: “Adapun, Rasulullah SAW bernafas sebanyak tiga kali ketika minum." Baginda SAW bersabda: “Itu lebih melegakan, bersih dan bermanfaat.” Anas berkata: Aku bernafas sebanyak tiga kali ketika minum.” (Riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi meletakkan hadis itu dalam bab makruh bernafas di dalam bekas dan sunat bernafas di luar bekas minuman sebanyak tiga kali.
Hadis itu juga menunjukkan larangan bernafas di dalam bekas minuman.
Dengan mengikuti cara Nabi Muhammad SAW minum, ia akan menyelamatkan kita daripada penyakit dahaga dan dikatakan juga terselamat daripada penyakit yang datang disebabkan minum dengan satu nafas.
Begitupun, hukum meminum air dalam satu nafas bukanlah perkara yang dilarang kerana hadis itu sekadar menceritakan kepada kita berkaitan larangan bernafas di dalam bekas minuman.
Imam al-Hafiz ada menukilkan pandangan daripada Khalifah Umar bin Abdul Aziz iaitu: "Sesungguhnya larangan yang dimaksudkan adalah larangan bernafas di dalam bekas minuman. Adapun, bagi orang yang tidak bernafas (di dalam bekas), dia boleh meminumnya dengan satu nafas sekiranya dia mahu.”
Menurut Imam al-Qurthubi, hikmah di sebalik larangan tersebut adalah: “Larangan bernafas di dalam bekas agar bekas air atau air tersebut tidak tercemar dengan air ludah ataupun bau yang tidak sedap berkaitan dengan air.”
Sebagai umat Islam, kita perlulah menjaga dan mengikuti panduan yang telah dianjurkan Rasulullah SAW kerana ia amat dituntut di dalam agama.
Semoga ALLAH SWT memberi kita kekuatan dalam mengamalkan sunah Nabi Muhammad SAW serta memelihara diri kita daripada sifat-sifat yang dikeji ALLAH SWT dan Rasulullah SAW.
(Sumber: Irsyad al-Hadith Siri ke-360: Bernafas Ketika Minum, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!