SHAH ALAM - Siasatan harus dilakukan dan tindakan tegas perlu diambil ke atas pihak yang melakukan kesalahan berkaitan penyebaran video seks songsang memfitnah seorang menteri Kabinet. Menteri Besar, Amirudin Shari menyerahkan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membuat sebarang keputusan ke atas ahli parti itu yang terlibat dengan penyebaran video tersebut. Beliau bagaimanapun menyifatkan kontroversi terbaharu itu sebagai modal tidak laku yang akan memakan diri mereka yang tidak bertanggungjawab. “Sepanjang pengalaman kita sejak 20 tahun lalu, mereka yang melakukan perbuatan ini sama ada fitnah atau penyebaran video yang kurang wajar ini, mengajar kita bahawa modal-modal ini tak laku. “Modal-modal ini akan makan balik mereka yang membuatnya... jadi ia tidak mendatangkan hasil. “Semua watak yang terlibat dengan kontroversi sebelum ini akhirnya hilang dan menjadi orang yang dilupakan dan dibiarkan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan SMARTSEL Sdn Bhd Selangor Geospatial Management System (SELGEM) di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini. Justeru, katanya, semua pihak perlu berhenti membahaskan perkara yang tidak membawa faedah kepada negara dan mereka yang melakukan penyebaran mengaibkan itu perlu bertaubat. “Lebih baik perbincangan politik kita lebih kepada dasar dan nilai. Kita ada banyak perkara lain daripada bincang perkara-perkara yang terlalu peribadi, memalukan, mengaibkan yang tak membantu pun pembangunan dan kejayaan serta kepentingan negeri pada masa handapan,” katanya. Beliau mengulas isu video kontroversi berkenaan yang didakwa memfitnah seorang menteri Kabinet kononnya terbabit dalam hubungan seks songsang dengan individu yang membuat pengakuan berkenaan. Video perlakuan songsang itu tersebar melalui satu kumpulan WhatsApp yang diberi nama ‘Jemputan Hari Raya’ pada Isnin lalu. Susulan itu seorang individu bernama Haziq Abdul Aziz yang juga ahli PKR tampil membuat pengakuan bahawa dirinya adalah pelaku dalam video berkenaan.