Tindakan rampas tanah jika tidak bayar cukai
KLANG – Pemilik tanah di Klang diingatkan segera membayar cukai hasil tanah sekiranya enggan tanah mereka dirampas.
Pegawai Daerah Tanah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor berkata, tindakan itu diambil berikutan ada segelintir pemilik bersikap sambil lewa dan kurang memberi perhatian terhadap isu pembayaran cukai.
"Tindakan tegas ini perlu bagi memastikan pemilik tanah tidak mengabaikan tanggungjawab mereka dan rampasan tanah adalah kaedah terakhir jika pemilik masih ingkar menjelaskan cukai.
"Saya nasihatkan kepada mereka supaya segera menjelaskan cukai terbabit. Jika pemilik gagal membayar cukai taksiran, mereka hanya berdepan dengan sitaan barang-barang sahaja tetapi apabila melibatkan rampasan tanah, penduduk terpaksa keluar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pejabat Daerah Tanah Klang (PDTK) di Dewan Serbaguna PTDK, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Amirudin Shari; ADUN Pandamaran, Leong Tuck Chee dan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli.
Beliau berkata, pemilik tanah dinasihatkan berurusan di PTDK sekiranya menghadapi sebarang masalah.
"Diakui kita mempunyai sedikit kelemahan berkaitan sistem, namun kakitangan kita sedia membantu pemilik tanah sekiranya mereka mempunyai masalah berkaitan pembayaran.
"Mereka hanya perlu datang ke pejabat dan berurusan di kaunter,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Zainal berkata, sehingga Mac lalu, pihaknya berjaya mengutip cukai tanah sebanyak RM36 juta.
"Kalau mengikut sasaran kerajaan negeri, kita diminta mengutip cukai tanah sekurang-kurangnya RM105 juta iaitu 90 peratus dari jumlah sasaran RM119 juta dan ia dijangka meningkat sehingga hujung tahun ini berdasarkan bayaran diterima.
"Bagi kutipan premium tanah pula, kita berjaya mengutip RM146 juta bagi tempoh Januari hingga bulan ini dan angka kutipan boleh mencapai RM300 juta sehingga hujung tahun ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!