TNB selesaikan 85 peratus aduan kenaikan bil

Amir Hamzah - FOTO ARKIB
Amir Hamzah - FOTO ARKIB
A
A
A

BANGSAR - [DIKEMASKINI] Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menyelesaikan 85 peratus daripada 18,600 aduan diterima syarikat utiliti tersebut berhubung kenaikan bil elektrik melibatkan penggunanya di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amir Hamzah Azizan berkata, sejak semalam TNB telah menyelesaikan lebih 15,000 kes dan hanya tinggal 3,500 kes yang masih belum diselesaikan.

Menurutnya, meskipun semua aduan telah diatasi sepenuhnya, pihaknya masih akan memberi fokus untuk menyelesaikan siasatan dan mencari punca berlakunya masalah tersebut.

“Seperti saya katakan dulu, kita terima semua aduan dan akan siasat dengan sepenuhnya. Setakat semalam kita terima 18,600 aduan dan pasukan kita berjaya selesaikan lebih 15,000 aduan.

ARTIKEL BERKAITAN: TNB berjanji akan membayar balik caj berlebihan

“Dari segi penyelesaian, kita nampak ada perkembangan. Sampai kita selesaikan semua aduan, kita masih fokus untuk selesaikan siasatan. Baki 3,500 aduan yang belum diselesaikan, kita akan buat siasatan lebih teliti.

“Kalau kita siasat dan dapati TNB tersalah, bil mereka berlebihan, kita akan pulangkan (kepada pengguna),” katanya kepada pemberita pada Majlis Mesra Aidilfitri Tenaga Nasional 2019 di sini petang tadi.

Dalam pada itu, ketika ditanya penalti yang akan dikenakan Suruhanjaya Tenaga (ST) terhadap TNB, Amir Hamzah menegaskan fokus beliau sekarang adalah untuk selesaikan aduan pengguna terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

“Buat masa ini saya tak tengok benda (penalti) itu lagi. Yang penting kita selesaikan masalah pengguna dulu...khidmat kepada pengguna paling penting.

“(Tidak terima surat?) Setakat ini kita tak buat apa, kita tengok macam mana dulu. Kita bagi habis urusan pengguna dulu,” ujarnya.

Tambah beliau, TNB sentiasa bekerjasama dengan ST dan berkongsi segala data dan maklumat dengan suruhanjaya tersebut.

“Kita perlu faham apakah isu sebenarnya dan bagaimana untuk kita pantau keadaannya. Itu fokus saya,” jelas beliau.

Sementara itu, Amir Hamzah menjelaskan segala urusan penetapan tarif baharu elektrik bukan di bawah bidang kuasa TNB.

“Tarif terpulang dan dikendalikan ST. Biasanya ia akan dibincangkan dan Kabinet akan melihatnya, itu terpulang kepada apa yang ST buat. Itu bukan bidang kuasa TNB.

“Kena tunggulah tapi kalau nak tahu yang telah ditetapkan, kena tunggu pengumuman dan tunggu ST kerana itu bukan bidang kuasa saya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!