Mengenali mimpi realiti dengan mimpi mainan syaitan

A
A
A

APABILA kita bercakap soal mimpi, para ulama sebenarnya membahagikan kepada tiga bahagian iaitu:

1) Mimpi yang benar.

2) Mimpi mainan syaitan dengan tujuan untuk menakutkan atau menyedihkan anak Adam.

3) Mimpi yang terkesan daripada kehidupan nyata dan realiti manusia sehingga dibawa ke dalam tidur.

Mimpi yang benar merupakan khabar yang baik daripada ALLAH SWT, manakala mimpi daripada syaitan ialah mainan tidur yang didatangkan untuk tujuan menakut dan melemahkan iman anak Adam.

Pembahagian itu berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Mimpi terbahagi kepada tiga, berita gembira daripada ALLAH, bicara diri sendiri (benak fikiran) dan sesuatu yang menakutkan daripada syaitan. Jika seseorang bermimpi sesuatu yang disukai, maka ceritakanlah mimpi itu jika dia mahu dan apabila dia bermimpi sesuatu yang dibenci, maka jangan diceritakan, hendaklah dia bangun dan berdoa." (Riwayat Ahmad).

Menurut riwayat yang lain, Rasulullah SAW menyarankan agar berta’awwuz (membaca A’uzubillah) apabila seseorang sedar daripada mimpi yang buruk.

Jelas, berdasarkan hadis di atas dan penerangan para ulama, wujudnya mimpi yang berbentuk petunjuk daripada ALLAH SWT di samping wujudnya mimpi mainan syaitan.

Artikel Berkaitan:

Namun begitu, tiada nas atau dalil yang jelas bagaimana cara membezakan antara mimpi yang benar atau mainan syaitan melainkan Rasulullah SAW yang mengetahui selok-belok takwil mimpi.

Bagaimanapun, terdapat perbincangan para ulama mengenai piawaian mengenali mimpi yang benar. Antaranya Sheikh al-Hasan al-Dudu, seorang ulama dari Mauritania merumuskan tiga tanda-tanda mimpi yang benar:

1) Mimpi yang tidak berlawanan dengan hukum syarak.

2) Mimpi yang dilihat tidak berlawanan dengan hukum logik akal.

3) Mimpi tersebut dapat diingati oleh orang yang bermimpi secara terperinci.Amalan sebelum tidur.

Selain itu, sebahagian ulama meletakkan tanda-tanda mimpi yang benar seperti seseorang yang sebelum tidurnya memenuhi tuntutan sunah-sunah Rasulullah SAW seperti berwuduk, berdoa, membaca tiga qul, berzikir, tidur di sisi kanan dan lain-lain lagi sepertimana yang disebutkan oleh Imam Ibn hajar dalam Fath al-Bari.

Sementara, mimpi mainan syaitan dapat dipastikan melalui perbezaannya dengan ciri-ciri mimpi yang benar sepertimana yang dinyatakan oleh para ulama. Antaranya kejadian yang dilihat dalam mimpi berlaku secara tidak masuk akal seperti seseorang boleh bercakap di dalam air dengan suara yang jelas dan terbang di langit yang tinggi seperti adiwira.

Antara lain mimpi mainan syaitan, ia datang dalam bentuk jalan cerita yang agak serabut dan terlalu banyak jalannya sehingga sukar seseorang untuk mengingati kembali apabila sedar daripada tidur.

Adakah wujud amalan tertentu untuk menjauhkan diri daripada mimpi buruk? Terdapat amalan yang diamalkan oleh salah seorang isteri baginda SAW, Aisyah RA sepertimana yang dinukilkan dalam kitab al-Azkar.

Setiap kali hendak tidur, beliau membaca doa: “Ya ALLAH! Aku memohon pada-Mu mimpi yang soleh dan benar bukan mimpi yang dusta. Aku memohon pada-Mu mimpi yang bermanfaat bukan yang memudaratkan."

***Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed merupakan pendakwah bebas dan penulis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!