SPRM digesa siasat projek bangunan komersial di Taman Midah

Kok Wai (dua dari kanan) bersama wakil penduduk ke ibu pejabat SPRM Kuala Lumpur hari ini bagi menyerahkan perkembangan baharu laporan projek komersial bangunan 50 tingkat yang sedang dalam pembinaan di Taman Midah.
Kok Wai (dua dari kanan) bersama wakil penduduk ke ibu pejabat SPRM Kuala Lumpur hari ini bagi menyerahkan perkembangan baharu laporan projek komersial bangunan 50 tingkat yang sedang dalam pembinaan di Taman Midah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat oleh Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai bersama wakil penduduk Taman Midah Cheras di sini hari ini yang memprotes pelaksanaan projek bangunan komersial 50 tingkat di atas lot 7176 yang kini sedang dalam pembinaan.

Kok Wai berkata, projek tersebut antara tersenarai di bawah 64 penjualan tanah kerajaan yang dilaporkan oleh Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng kepada SPRM, 17 Oktober lalu.

Menurutnya, wakil penduduk yang membentuk Sekretariat Penduduk Taman Midah Memprotes Pembangunan Arte Cheras (SPTMMPAC) menyerahkan laporan baharu kepada SPRM berkenaan pembangunan projek yang diragui dari status penjualan tanah dan kelulusan pembangunan.

"SPTMMPAC telah melakukan semakan dan memperolehi beberapa fakta meragukan termasuk status hak milik tanah lapang kepada komersial yang tidak boleh dipindah milik, dipajak, cagar atau digadai tanpa kebenaran Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Tiada sebarang dokumen kebenaran penukaran status tanah ditemui atau dikemukakan oleh DBKL. Oleh itu, tanah ini hanya boleh digunakan untuk pejabat penyenggaraan DBKL sahaja," katanya di luar ibu pejabat SPRM Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu Pengerusi KRT Taman Midah A, Law Keng Hong memaklumkan SPTMMPAC dengan bantuan Ahli Parlimen Cheras telah mengadakan pertemuan dengan pihak DBKL Mac lalu bagi mendapatkan penjelasan berhubung projek tersebut.

"Penduduk ingin tahu alasan tanah lapang sempit berhampiran bulatan Taman Cheras yang sesak dengan trafik berjaya ditukar statusnya untuk pembangunan dan bagaimana kelulusan itu diberikan.

"Kami juga meminta laporan berkaitan Penilaian Impak Trafik (TIA), Audit Keselamatan Jalan Raya (RSA) peringkat satu hingga tiga dan laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) dari pihak pemaju dikemukakan bagi penelitian dan perbincangan selanjutnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perbincangan lanjut berhubung perkara itu sepatutnya diatur 6 Mei lalu namun tidak dapat dilaksanakan disebabkan pegawai berkaitan tidak menghadirkan diri.

Jelasnya lagi, surat bantahan sama turut diserahkan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Hamdan Wahid berhubung kesesuaian projek dengan keluasan tanah serta aspek keselamatan sewaktu kecemasan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!