SHAH ALAM - Lelaki yang mengaku dirinya terlibat dalam satu klip video seks, Muhammad Haziq Abdul Aziz mendakwa seorang pegawai menteri Kabinet telah memaksa dirinya untuk berbohong dengan membuat penafian mengenai video seks yang tular itu. Muhammad Haziq yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong mendakwa seorang menteri telah menghantar Setiausaha Politiknya, Hilman Idham untuk bertemu dengan beliau di sebuah restoran di Putrajaya. "Dia (Hilman) telah paksa saya menafikan dan meminta saya berbohong. Saya minta lebih masa untuk merujuk kepada ibu bapa saya dan ini menimbulkan kemarahannya. ARTIKEL BERKAITAN: Polis buka kertas siasatan kes video seks tular "Selepas saya enggan, dia membuat ugutan dan berkata, isu ini akan berakhir dalam tempoh 48 jam dengan atau tanpa bantuan saya untuk berbohong," katanya dalam satu status akaun Facebook milknya semalam. Sementara itu, Muhammad Hilman ketika ditemui pemberita di Putrajaya tidak menafikan pendedahan Muhammad Haziq bahawa mereka pernah bertemu di Putrajaya sebelum video pengakuan itu dibuat, namun enggan mengulas lanjut mengenainya. “Betul. Saya sudah serahkan semua maklumat itu kepada pihak polis dan kita beri ruang kepada polis untuk siasat,” katanya. Semalam Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau terlibat dalam video tersebut. Menurut Mohamed Azmin, ia adalah agenda terancang untuk menjatuhkan karier politiknya.