'Lebai' sembah tokong mohon maaf
PARIT BUNTAR - " Saya minta maaf, saya menyesal dengan perbuatan saya."
Demikian permohonan maaf secara terbuka diluahkan seorang nelayan, Lim Lip Kok, 43, susulan mencetuskan tular di media sosial baru-baru ini dengan berpakaian kain pelikat dan kopiah melakukan upacara pemujaan tokong di Taman Piandang Indah, Tanjung Piandang, di sini.
Dibantu jurubahasa, Lip Kok dari Bagan Selatan menyatakan pengakuan menyesal dengan tindakannya dan berjanji tidak akan mengulanginya setelah perbuatan tular itu menyinggung perasaan umat Islam dan masyarakat Melayu di negara ini.
Menurutnya, dia langsung tidak mengetahui cara pemakaian itu boleh menimbulkan kemarahan umat Islam bahkan turut tidak menyedari perbuatannya itu dirakam individu tidak dikenali.
"Sidang media dibuat bertujuan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terutama menganut agama Islam.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Lebai' sembah tokong bebas dengan jaminan polis
"Saya tidak berniat menyinggung perasaan umat Islam, menyesal dengan tindakan dilakukan dan berjanji tidak akan mengulanginya," katanya dalam satu sidang media khas di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi MPKK Sungai Labu Atas, Mohd Suhimi Majid Azizi, Biro Agama Masjid Tanjung Piandang, Mohd Yusop Budin dan Ahli Majlis Daerah Kerian, Beh Yong Kean.
Sementara itu, Mohd Yusop dalam kenyataannya menegaskan kes perbuatan biadab Lip Kok dianggap selesai dengan permohonan maaf dibuat individu itu hari ini.
Namun, dia menasihati semua pihak agar tidak melakukan perkara sama kerana ianya boleh menyentuh sensitiviti umat Islam.
Terdahulu Lip Kok ditahan polis pada 10 Jun lalu sekitar jam 5.00 petang di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian.
Bagaimanapun, Lip Kok kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis pada keesokan hari setelah kes itu diambil alih pasukan siasatan dari Bukit Aman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!