Perbicaraan kes SRC Najib ditangguhkan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan kes dana SRC International Sdn Bhd telah dipendekkan waktunya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana pihak pembelaan mahu menyemak rakaman transkrip bekas pengerusi SRC, Tan Sri Ismee Ismail, untuk memastikan ada atau tidak percanggahan dalam keterangannya.

Ini kerana Ismee, 54, saksi pendakwaan ke-39, memberi keterangan hari ini bahawa lembaga pengarah SRC International akan mengikut resolusi para pemegang saham syarikat manakala dalam kenyataan bertulisnya saksi itu menyebut lembaga pengarah mengikut nasihat Najib, selaku Penasihat Emeritus SRC.

Oleh itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mengetuai pasukan pembelaan meminta prosiding petang hari ini ditangguhkan ke pagi esok, sementara menunggu mereka mendapatkan transkrip rakaman mahkamah (CRT) Ismee.

"Kami telah tiba di persimpangan berkaitan isu-isu tertentu yang memerlukan pihak kami melihat dokumen tertentu sebahagian daripadanya masih dalam ikatan dan belum pernah dilihat atau diperiksa...supaya kami dapat membuat keputusan sama ada hendak memeriksa balas saksi selanjutnya berhubung bidang-bidang yang mungkin terdapat percanggahan.

"Kami perlu melihatnya. Terdapat beberapa (dokumen) dan transkrip saksi. Jadi, kami perlu mengambil arahan daripada pelanggan saya...kerana mereka adalah peguam-peguam kanan kami perlu mendapat pandangan sesama sendiri untuk melihatnya dengan lebih teliti," kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram tidak membantah permohonan pihak pembelaan itu.

"Melihat dokumen tertentu dan mungkin pertimbangan tertentu, kami berasa adalah lebih baik untuk membuat keputusan setelah melihat transkrip itu dahulu dan kemudian baru kami meneruskannya dengan lebih lanjut kerana penangguhan ini akan mengambil sedikit masa,” kata beliau.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian mengguhkan prosiding sebelah petang kepada 9 pagi esok.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, semasa diperiksa balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh, Ismee memberitahu mahkamah bahawa lembaga pengarah SRC membuat keputusan berdasarkan resolusi pemegang saham syarikat.

Harvinderjit kemudian merujuk Ismee kepada kenyataan saksinya, yang menyatakan bahawa SRC bertindak atas nasihat perdana menteri (Najib), yang juga penasihat emeritus syarikat.

Harvinderjit: Jadi, keterangan kamu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak seperti yang kamu katakan hari ini iaitu lembaga hanya bertindak berdasarkan resolusi pemegang saham?

Ismee: Saya tidak bersetuju, saya fikir saya ada menyebutnya dalam keterangan saksi itu.

Harvinderjit kemudian berpaling ke arah Muhammad Shafee dan berkata, "Dia (Ismee) tidak bersetuju.”

Kedua-dua pihak (pembelaan dan pendakwaan) kemudian berjumpa hakim dalam kamar semasa perbicaraan berhenti rehat dan apabila perbicaraan disambung semula, Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan memerlukan CRT itu untuk menyemak keterangan saksi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!