SELGEM jadi nilai tambah kemajuan Selangor
SHAH ALAM - Selangor melakar sejarah apabila menjadi negeri pertama di negara ini membangunkan Projek Sistem Pengurusan Geospatial SmartSel (SELGEM) dengan teknologi LiDAR udara (Airborne Light Detection and Ranging).
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, sistem itu bakal dimanfaatkan secara meluas meliputi pengurusan bencana, pemuliharaan alam sekitar serta pemetaan utiliti sejajar dengan konsep Smart Selangor.
Menurutnya, teknologi itu berupaya memberikan maklumat keadaan muka bumi dan topografi secara terperinci dan tepat sekaligus memberi nilai tambah terhadap pembangunan dan kemajuan negeri ini.
“Menerusinya, kita akan menjadi negeri yang pertama mempunyai pengkalan data terlengkap dari segi topografi, utiliti dan demografi menjadikan SELGEM sebagai pusat geospatial setempat untuk mengenal pasti, merancang dan mengawal kawasan pembangunan rumah mampu milik, pengurusan sisa pepejal, saliran dan pengaliran sungai, perhutanan dan pertanian, pengurusan bencana dan pembangunan infrastruktur telekomunikasi serta utiliti.
“Teknologi LiDAR yang akan digunakan oleh SELGEM terbukti berkemampuan untuk berfungsi dengan sepenuhnya untuk menjadi salah satu alat untuk membekalkan analisa yang komprehensif terutama untuk 24 sektor di bawah akta kualiti alam sekeliling 2015,” katanya pada Majlis Pelancaran SELGEM, di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.
Tambah Amirudin, pendekatan baharu itu antara lain mampu mengawal isu-isu bencana apabila data yang diperolehi dapat dijadikan sebagai persediaan awal mengatasi sebarang kemungkinan.
“Sebagai contohnya keruntuhan tanah di kawasan Bukit Antarabangsa kerana terdapat pergerakan air di bawah tanah dan bencana lain yang masih dalam ingatan kita. Jadi dengan adanya teknologi ini kita boleh mengetahui sekiranya terdapat pergerakan tanah dan sebagainya.
“Oleh itu, kerajaan negeri merasakan adalah lebih baik jika mengambil langkah pencegahan dan memastikan pembangunan yang dilaksanakan di dalam Selangor, walaupun pesat dan rancak, ia terkawal dan mampan,” katanya.
Pada masa sama, Amirudin berkata, SELGEM itu turut mampu menjadi penyumbang kepada tarikan pelabur untuk melabur di Selangor dengan adanya data pembangunan, topografi dan utiliti yang lengkap di negeri Selangor ini.
“Dengan data yang lengkap, pelabur lebih mudah untuk membuat keputusan apabila hendak melabur di negeri ini apabila dapat mengenal pasti kesesuaian pembangunan yang mahu dibuat atas sesuatu kawasan” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!