Tindakan Nurul Izzah cetus kebimbangan

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Gerakan TVET Nasional (GTN) melahirkan kebimbangan terhadap tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang melepaskan beberapa jawatan di dalam parti dan kerajaan.

Setiausaha Agungnya, Nordin Abdul Malek berkata, tindakan itu mencemaskan warga sektor pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) yang melihat keadaan itu sebagai merugikan.

Menurutnya, jika Nurul Izzah turut melepaskan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan TVET Nasional, ia akan menyebabkan masa depan TVET di negara ini terjejas.

"Ini merupakan satu kerugian buat TVET dan negara kerana perancangan sudah dilakukan untuk memperkasa TVET.

"Kita juga bimbang terhadap masa depan TVET yang secara tidak langsung menambahkan kekeliruan dan kecelaruan dalam TVET," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Nurul Izzah melepaskan jawatan Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Nordin berkata, jika perkara itu berlaku beberapa pelaksanaan dan perancangan program TVET yang dirancangkan juga tertangguh.

Proses untuk memulakan semula perancangan akan mengambil masa jika individu lain mengambil alih jawatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Nordin menjelaskan pihaknya bimbang keadaan itu akan turut mengakibatkan krisis keyakinan terhadap pemain industri, ibu bapa dan pelajar.

"Pasukan khas berperanan memperkasa TVET yang dipengerusikan beliau memberi harapan yang tinggi untuk memperkasa TVET.

"Kami berharap Nurul Izzah akan menimbang semula keputusannya berhubung keenggannya untuk meneruskan khidmat dalam apa juga kapasiti di bawah kerajaan persekutuan," katanya.

Nordin berkata, TVET merupakan isu serius yang perlu ditangani segera oleh kerajaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!