Dua kapal tangki minyak diserang di Teluk Oman
MUSCAT - Dua kapal tangki minyak dilaporkan diserang dengan torpedo di Teluk Oman hari ini.
“Kapal tangki minyak tersebut, Front Altair yang membawa bendera Marshal Islands dan Kokuka yang membawa bendera Panama turut menghantar panggilan kecemasan sejurus insiden serangan tersebut. Kesemua kru bagaimanapun disahkan selamat dan dipindahkan dari kapal yang terbakar,” menurut laporan media tempatan.
Sementara itu, Associated Press (AP) melaporkan Operasi Perdagangan Maritim Britain yang dikendalikan tentera laut British memberi amaran tentang insiden terbabit dan menggesa supaya mengambil langkah berjaga-jaga.
Dalam satu kenyataan lain, US Fifth Fleet juga mengesahkan kapalnya di Timur Tengah telah menerima dua panggilan kecemasan daripada dua kapal tangki minyak yang diserang di Teluk Oman.
Kejadian itu berlaku sebulan selepas empat kapal tangki minyak diserang di perairan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Amerika Syarikat menuduh Iran mendalangi serangan itu yang turut meningkatkan lagi ketegangan antara Teheran dan sekutu Washington di Teluk. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!