Perpecahan bangsa Arab makin parah

A
A
A

TATKALA Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bakal mengisytiharkan pelan damai Asia Barat Deal of the Century, ternyata negara-negara Arab sekali lagi terperangkap dalam strategi adu domba yang didalangi Zionis Yahudi.

Sejak daripada pemimpin kabilah Arab bersekongkol dengan kuasa British untuk memberontak terhadap kerajaan Uthmaniyah bermula 1916, kononnya untuk mewujudkan satu negara Arab, namun pemimpin Arab masih menyerlahkan tabiat yang lazim iaitu berebut takhta untuk mempertahankan kuasa masing-masing.

Ternyata British tahu perangai bangsa Arab, lalu berbohong dan tidak menepati janji dengan ketua-ketua kabilah Arab. Akhirnya setelah wilayah Arab berjaya dikeluarkan dari kerajaan Utmaniyah, sempadan negara Arab ditentukan oleh perjanjian rahsia Sykes-Picot antara British dan Perancis yang menentukan sempadan antara kabilah Arab yang dibahagi-bahagikan mengikut pengaruh dua negara Barat itu.

Negara Arab menjadi terpisah-pisah dan seterusnya wilayah Palestin yang berada di bawah mandat British kemudiannya diserahkan kepada Yahudi untuk membentuk negara Israel pada 1948. Ibn Saud diserah untuk menjadi pemerintah di kawasan Semenanjung Arab, menjadi negara Arab Saudi pada1932.

Kini Amerika Syarikat mengambil peranan utama untuk mengolah politik Arab. Sejak Trump berkuasa, beliau telah mengambil langkah agresif untuk mengikat hubungan dengan beberapa negara Arab dengan penjualan senjata atas nama menjamin kestabilan rantau Asia Barat. Negara seperti Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, Mesir dan Bahrain menjadi sasaran yang mudah.

Matlamat terpenting Trump adalah untuk menjamin keselamatan Israel dan memastikan kekayaan minyak di rantau itu berada di tangan Amerika. Negara Arab terutama Saudi menjadi alat untuk Amerika dan Israel mengolah seluruh negara Arab di bawah Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang ditubuh pada 1981 (enam negara) dan Liga Arab ditubuh pada 1947 (22 negara Arab). Bangsa Arab meliputi hampir 420 juta orang.

Namun setakat ini nampaknya Saudi menjadi tiang utama persekongkolan negara Arab untuk menggerakkan proses normalisasi dengan Israel iaitu untuk akhirnya mengiktiraf Israel. Sehingga ini hanya Jordan dan Mesir yang mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel. Jika Saudi yang telah mengikat perjanjian membeli senjata dari Amerika dengan nilai AS$ 8 bilion, kalau Amerika berjaya mempengaruhi dasar Saudi, maka hubungan diplomatik Saudi dengan Israel berkemungkinan akan berlaku.

Ternyata setelah bangsa Arab dipecah-pecahkan menjadi negara berasingan, kini fasa selanjutnya ialah untuk mencatur negara Arab untuk mengiktiraf Israel. Kaedahnya amat jelas. Wujudkan satu musuh untuk seluruh negara Arab bertumpu iaitu Iran sebagai sasaran, kemudian pastikan negara Arab mengabsahkan persekongkolan dengan Israel sebagai satu keperluan, pastikan setiap diktator Arab termasuk Raja-raja Arab terus berkuasa, beri alternatif bagaimana Palestin boleh dipindahkan dan diasingkan terus dari Israel, perkukuhkan dan perbesarkan wilayah Israel, maka matlamat Deal of the Century akan benar-benar tercapai.

Artikel Berkaitan:

Perpecahan Arab menjadi senjata paling strategik untuk Palestin terus dicengkam oleh Israel. Sebab itu Amerika perlu menjamin sekuriti Israel walau apa pun berlaku dengan cara mencatur pertelingkahan antara negara-negara Arab. Jualan senjata kepada diktator Arab adalah untuk mereka saling bercakar dan bertempur antara satu sama lain.

Pada hakikatnya yang dikatakan Deal of the Century yang hendak diketengahkan Trump adalah untuk mencapai matlamat di atas. Bangsa Arab bukan sahaja berpecah malah mereka saling menghancurkan antara sesama sendiri.

Yang jelas Zionis Israel bersorak gembira kerana wujud situasi perbalahan antara negara Arab yang tidak pernah terbayang oleh Israel.

Kini, konflik antara sesama bangsa Arab sudah menjadi semakin tenat. Kita harus mengambil iktibar daripada kemelut yang sedang melanda bangsa Arab agar tidak menjangkiti bangsa kita.Kini Amerika Syarikat mengambil peranan utama untuk mengolah politik negara-negara Arab."* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Teras Pengupayaan Melayu (Teras)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!