Taufik, hidayah tak datang bergolek
A
A
A
Ibnul Qayyim Rahimahullah berkata bahawa hidayah ialah mengetahui kebenaran dan mengutamakannya daripada yang lain.
Sebagai insan yang mahukan kebenaran untuk membina hidup di atas landasan sirotul-mustaqim, pastinya kita akan memohon dan mengharapkan hidayah daripada ALLAH tapi sayang ramai yang tidak mahu berusaha untuk mendapatkannya.
Berbahagialah insan-insan terpilih yang ALLAH kurniakan taufik dan hidayah kepada mereka.
Ia adalah satu rahmat kehidupan yang tidak ternilai dengan wang ringgit.
ALLAH berfirman: "Dan orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguhnya, ALLAH berserta orang-orang yang berbuat baik."(QS Al-Ankabût.29:69)Salah satu rahmat yang akan dikecapi mereka yang dikurniakan taufik dan hidayah ialah ALLAH memberi mereka kelapangan masa untuk berbuat amal ibadah dan amal jariah.
Mereka sentiasa mempunyai masa, ruang dan peluang untuk menyempurnakan tanggungjawab mereka mengikut tuntutan agama di bawah kerangka hablum minaallah dan hablum minaanas.
Bagi mereka, berulang alik ke masjid, membaca al-Quran, berbakti kepada ibu bapa, menyertai program kemasyarakatan, menziarahi orang sakit dan sebagainya adalah menjadi satu kebiasaan dan perkara yang ringan untuk mereka laksanakan.
ALLAH membuka hati mereka untuk melakukan semua itu dan memberi kelapangan masa serta keringanan tubuh badan untuk menyempurnakan tugas-tugas serta tanggungjawab mereka dengan baik.
Maka berbahagia, aman dan damailah insan-insan tersebut menjalani kehidupan harian mereka dengan mendapat keredaan-Nya. Membina hidup di atas landasan sirotul-mustaqim dan di atas dan bukan jalan yang dimurkai-Nya.
Lazimnya bagi insan-insan tersebut, akan terpacarlah nur atau cahaya keimanan di wajah dan air muka mereka.
Sementara itu, insan-insan yang Tuhan biarkan dalam kekufuran atau kehanyutan oleh kerana mengikut nafsu, tewas kepada godaan dan kepalsuan duniawi, lazimnya mereka akan sentiasa rasa sibuk dengan agenda dan keperluan peribadi.
Ada saja yang perlu mereka kejar dan lakukan untuk memuaskan hati dan agenda sempit.
Masa mereka menjadi sempit dan hati mereka menjadi berat untuk menunaikan tanggungjawab mereka kepada Tuhan dan sesama manusia. Pendek kata ada saja alasan dan sebab untuk mereka tidak melakukannya.
Lazimnya bagi manusia seperti ini, urusan kerja mereka sering menjadi susah dan bermasalah. Dan wajah serta air muka mereka akan menjadi keruh dan nampak serabut. Wujud kegelisahan dan rasa kurang damai dalam hati nurani mereka.
Hidayah tidak akan datang secara bergolek. Hidayah memerlukan perjuangan yang jitu dan kental untuk kita memperolehnya.
Tidak mungkin ALLAH mengutus malaikat untuk memimpin tangan seorang hamba agar bergerak menuju ke masjid untuk menunaikan solat, kalau hamba tersebut bermalas-malasan ketika mendengar azan.
Tidak mungkin juga ALLAH mengutus malaikat untuk menarik tangan seorang hamba daripada kemaksiatan dan kemungkaran, kalau hamba tersebut tidak berusaha menjauhinya.
Oleh yang demikian, saya mengingati diri saya dan juga anda sekalian, marilah kita bermuhasabah diri, mengangkat doa kepada-Nya agar Dia memberi taufik dan hidayah kepada kita.
Seterusnya kita berusaha sebaik mungkin untuk menunaikan tanggungjawab kita kepada-Nya mengikut garis dan panduan yang telah ditetapkan agama.
Tidak akan wujud keimanan dan ketakwaan seseorang melainkan dia mendapat hidayah daripada ALLAH.
Dua perkara ini sangat berkaitan erat dan tidak boleh dipisahkan satu sama lain. Oleh kerana itu seorang Muslim jika ia ingin tetap berada di bawah hidayah sampai wafatnya, maka wajib berpegang teguh dengan al-Quran dan sunah Nabi.
Dengan melaksanakan suruhan-Nya dan menjauhkan diri daripada apa yang dilarang-Nya.
Bila kita sentiasa beristiqamah untuk menunaikan tanggungjawab tersebut, maka ALLAH akan menambah petunjuk.
ALLAH berfirman: "Dan orang yang mendapat petunjuk, ALLAH akan menambah petunjuk kepada mereka dan menganugerahi ketakwaan mereka.” (QS Muhammad 47:17) Insya-ALLAH.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!