'Tengoklah tangan Ainul tu...'
LONDON - Bayi istimewa, Ainul Mardhiah sudah dimasukkan ke wadnya semula selepas selesai menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada mulutnya Isnin lepas.
Khabar gembira itu dikongsikan bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, dalam laman Facebooknya malam tadi.
Dalam status tersebut, Ahmad Safiuddin turut memuat naik video anaknya itu yang begitu aktif menggerakkan tangannya.
“Ainul dah masuk wadnya semula. Alhamdulillah.
ARTIKEL BERKAITAN: Comelnya Ainul... dah boleh buka mata betul-betul!
“Tengok lah tangannya tu. Nurse (jururawat) pun sampai dah tak tahu nak buat apa. Nak ikat, mereka kesian (kasihan)
“Last (akhir) sekali, biar je tangan dia keluar,” tulisnya.
Sebelum itu, Ahmad Safiuddin berkongsi gambar Ainul Mardhiah mengeluarkan tangannya dari balutan, tidak tersorok seperti sebelum ini.
Menurutnya, itulah Ainul Mardhiah yang sebenar, suka mengeluarkan tangannya dan tidak suka dibalut.
“Dua hari lepas, setelah Ainul sedar dari pembedahan, perkara pertama yang dia buat adalah cuba nak keluarkan tangan dia dari balutan itu.
“Bukan main lagi dia meronta-ronta nak keluarkan tangan. Hari ni, nurse biarkan saja dia keluarkan tangan.
“Sebab bila dia keluar tangan macam ni, dia senyap. Kalau dibalut, memang tak tidur lah dia jawabnya,” katanya.
Ainul Mardhiah yang menghidap ‘Germ Cell Tumor’ selamat menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulutnya di sebuah hospital, di sini.
Pembedahan dilakukan sekumpulan pakar bedah dan anestetik diketuai oleh Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.
Doktor berasal dari Malaysia, Dr Amalina Che Bakri dan Dr Julian Ong turut terlibat dalam pembedahan berisiko tinggi itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!