Anak saudara kebas barang kemas pusaka

Ahmad Adnan
Ahmad Adnan
A
A
A

BATU GAJAH - Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun tergamak mencuri barang kemas pusaka bernilai RM10,000 milik bapa saudaranya dalam kejadian di Kampung Baru Chendrong, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa berusia 63 tahun menyedari seutas rantai dan loket emas yang disimpan dalam bilik tidurnya lesap bersama suspek kira-kira jam 4.20 pagi.

“Suspek yang tinggal bersama mangsa sejak tiga bulan lalu telah keluar rumah tanpa pengetahuannya. Mangsa melakukan pemeriksaan dan mendapati rantai leher emas bernilai RM8,000 dan loket bernilai RM2,000 telah hilang.

“Seminggu sebelum suspek keluar, barang berharga tersebut masih ada disimpan dalam almari kecil di bilik tidur berkenaan,” katanya.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah telah menahan suspek di sebuah rumah di Taman Puncak Jelapang, Ipoh.

“Soal siasat mendapati suspek mengaku telah mencuri barang kemas tersebut dan telah digadai di kedai pajak gadai di Silibin.

“Suspek yang tidak lagi bersekolah itu akan direman hari ini bagi mengesan barang kemas berkenaan,” katanya.

Ahmad Adnan berkata, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!