Dewan Negara lulus pindaan Auku
KUALA LUMPUR - Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2018 yang bertujuan memansuhkan peruntukan yang menghalang penuntut universiti terlibat dalam aktiviti parti politik dalam kampus.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata kementerian telah menubuhkan satu jawatankuasa kerja yang berperanan menyediakan input dan draf kandungan baharu bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 dengan satu akta baharu menjelang 2020.
"Jawatankuasa ini juga akan menyelaras laporan berkala dan melakukan pembentangan kepada Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan, Pemansuhan dan Pindaan Auku.
Manakala Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan, Pemansuhan dan Pindaan Auku pula berperanan menyelaras, mengkaji dan menyemak peruntukan berkaitan yang terdapat dalam Auku secara menyeluruh dan mengemukakan laporan kepada jawatankuasa induk.
"Kesemua ahli jawatankuasa ini dianggotai oleh ahli akademik, bukan akademik, penasihat undang-undang, wakil pelajar dan wakil persatuan yang merupakan pemegang taruh universiti awam dan swasta negara ini," katanya.
Pada 10 Disember lepas, Dewan Rakyat mencatat sejarah apabila meluluskan dengan sebulat suara pindaan terhadap Auku 1971 yang membenarkan mahasiswa aktif berpolitik.
Pindaan itu membabitkan pemansuhan Seksyen 15(2)(c) Auku yang menghalang mahasiswa terbabit dalam kegiatan politik di kampus, sekaligus memberi lebih banyak ruang dan kebebasan kepada mereka dalam bersuara serta berpolitik.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada 17 November dilaporkan mengulangi komitmen kerajaan memansuhkan Auku, sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto PRU14 PH.
Sementara itu, Dewan Negara turut meluluskan dua lagi RUU iaitu RUU Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) (Pindaan) 2018 dan RUU Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2018.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!