Michelin, GM lancarkan tayar tanpa angin menjelang 2024
KITA tentu biasa mendengar istilah ‘tayar mati’ yang merujuk kepada tayar basikal kanak-kanak yang tidak perlu diisi angin. Tayar tanpa angin itu sememangnya tidak akan pancit.
Sebenarnya itu ialah tayar tanpa angin yang diperbuat daripada material getah atau sintetik padu dan bukan dalam bentuk tiub atau berongga seperti mana biasa.
Namun, tayar kenderaan boleh mengalami kebocoran di jalan raya kerana masalah ini tayar tanpa angin telah dibangunkan oleh pelbagai pengeluar.
Situasi itu barangkali telah mendorong Michelin dan General Motors (GM) mengumumkan kerjasama untuk menghasilkan tayar Unique Puncture-proof Tire System (UPTIS). UPTIS dikatakan bakal diuji pada Chevrolet Bolt pada hujung tahun ini.
Naib Presiden Kanan GM, Steve Kiefer berkata, ujian itu dibuat untuk membantu membangunkan tayar tersebut dan membolehkannya dipasang pada kenderaan penumpang seawal tahun 2024.
Ujarnya, dengan penggunaan UPTIS, pemandu tidak perlu bimbang tentang tekanan angin tayar atau masalah haus.
UPTIS dikatakan lebih mesra alam kerana ia dapat mengurangkan jumlah tayar pancit atau rosak. Michelin menganggarkan 20 peratus atau 200 juta tayar dibuang setiap tahun kerana pancit atau haus.
Dengan erti kata mudah, kehadiran UPTIS tidak memerlukan pengguna menukar tayar gantian.
“UPTIS merupakan satu penyelesaian ideal untuk memacu industri automotif. Ia menjadi bukti bahawa pelanggan akan mendapat manfaat apabila kami berkolaborasi dengan rakan strategik dan para pembekal,” kata Kiefer.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!