Agong beri penghormatan kepada wira-wira UAE yang gugur
ABU DHABI - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melawat Wahat Al-Karama, sebuah tapak peringatan untuk wira-wira UAE yang telah terkorban, pada hari kedua lawatan khas tiga hari Seri Paduka ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Seri Paduka meluangkan masa selama kira-kira setengah jam pada petang Khamis di tapak peringatan itu yang dibina pada 2016 sebagai tanda penghormatan kekal dan peringatan perang bagi menghormati para anggota tentera dan warganegara UAE lain yang telah gugur syahid dan mengorbankan nyawa mereka demi berkhidmat untuk negara.
Lawatan bermula dengan Sultan Abdullah dan Pengarah Urusan Pejabat Syahid, Sheikh Khalifa bin Tahnon Alnahyan, memeriksa Perbarisan Hormat yang terdiri daripada 20 anggota tentera UAE.
Yang di-Pertuan Agong kemudian menyentuh lingkaran bunga di situ dengan kedua-dua tangan baginda sebelum bertafakur seminit sebagai tanda memperingati para wira yang telah gugur.
Sheikh Khalifa bin Tahnon Alnahyan kemudian mengiringi lawatan Seri Paduka sambil memberi penerangan tentang tugu peringatan tersebut yang mana Sultan Abdullah dilihat menganggukkan kepala tanda faham sebelum Seri Paduka menandatangani buku pelawat sebelum berangkat meninggalkan tapak peringatan tersebut.
Turut hadir Timbalan Menteri Luar Malaysia Datuk Marzuki Yahya, Duta Malaysia ke UAE Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Datuk Yubazlan Yusof.
Menurut laporan, Wahat Al Karama adalah sebuah istana yang dibina hasil cetusan wawasan Presiden UAE Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan untuk mengabadikan kenangan terhadap para wira negara.
Ia meliputi satu kawasan seluas 46,000 meter persegi dan secara simbolik terletak antara Masjid Besar Sheikh Zayed dan Ibu Pajabat Angkatan Tentera UAE, menggunakan 31 tablet besar diperbuat daripada aluminium yang bersandaran antara satu sama lain bagi melambangkan perpaduan, solidariti dan saling kebergantungan yang mengikat bersama pucuk kepimpinan, rakyat serta anggota pasukan keselamatan lelaki dan wanita yang melindunginya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Kepresidenan UAE, Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan pada satu perjumpaan tertutup yang diadakan selama kira-kira setengah jam di Istana Emiriah.
Sultan Abdullah berangkat iba di Abu Dhabi pada Rabu dan menurut kenyataan Kementerian Luar Malaysia di Kuala Lumpur yang dikeluarkan sebelum lawatan baginda, lawatan khas Seri Paduka ke UAE ini melambangkan kehangatan dan kemesraan hubungan erat dua hala antara kedua-dua negara.
Ini adalah lawatan pertama Sultan Abdullah ke UAE selepas mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 pada 31 Januari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!